SEREMBAN: Syarikat industri kuari dan pembinaan infra, Negeri Roadstone Sdn. Bhd. (Negeri Roadstone) baru-baru ini mengumumkan kejayaan mencatatkan pendapatan hampir RM178 juta bagi tahun 2022.
Pengerusi Negeri Roadstone, Datuk Muhammad Nazri Kassim berkata, sebagai pengiktirafan terhadap kejayaan berkenaan, syarikat itu baru-baru ini telah mengagihkan dividen bernilai RM4 juta kepada Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS) iaitu pemegang saham yang terbesar di Negeri Roadstone.
“Pembayaran dividen ini telah mencerminkan komitmen syarikat untuk memberikan pulangan yang adil kepada pemegang saham yang mempercayai visi dan nilai-nilai syarikat.
“Negeri Roadstone juga telah menyerahkan dividen kepada pemegang-pemegang saham yang lain, ini menunjukkan komitmen syarikat dalam memelihara hubungan yang saling menguntungkan dengan rakan kongsi dan pemilik tanah, serta memberikan sumbangan positif kepada masyarakat setempat,” katanya hari ini.
Muhammad Nazri memberitahu, majlis penyerahan cek contoh (mock cheque) agihan dividen kepada PKNNS dan syarikat pemegang saham yang lain telah diadakan baru-baru ini.
Ia disaksikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun selaku Pengerusi PKNNS dan Ketua Pegawai Eksekutif Negeri Roadstone, Muhamad Haqime Amdan.
Turut diserahkan pada majlis itu mock cheque pembayaran sebanyak RM3.5 juta bagi penyewaan tanah di Nilai, Seremban.-UTUSAN.