Dalam penulisan saya yang diterbitkan pada bulan Mac lalu, saya telah menggariskan inisiatif PERKESO untuk memperluas liputan perlindungan sosial bagi golongan bekerja sendiri, terutamanya pekerja gig atau platform di negara ini.
Pertumbuhan ekonomi platform yang tidak diselia menyebabkan peningkatan bilangan pekerja informal (pekerja tanpa hak pekerjaan dan perlindungan asas), yang menimbulkan kebimbangan mengenai jurang perbezaan berterusan antara pekerja formal dan pekerja gig informal, dan juga peningkatan tahap kerentanan pekerja informal.
Menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), hampir 42 peratus pekerja gig informal di negara-negara membangun merupakan golongan pekerja miskin.
Untuk menangani isu ini, International Social Security Association (ISSA) telah membentangkan Kertas Teknikal mengenai “penyediaan perlindungan sosial yang mencukupi dan mampan untuk pekerja dalam ekonomi gig dan platform” di Mesyuarat Menteri-Menteri Buruh dan Pekerjaan G20 (LEMM) di Indore, India.
Cadangan dasar tersebut bertujuan menyediakan perlindungan menyeluruh kepada pekerja gig dan membantu peralihan mereka dari ekonomi informal ke formal.
Kertas Teknikal ini selaras dengan saranan ILO tentang “Recommendation R204 of Transition from the Informal to Formal Economy”, yang menggariskan strategi penting untuk mencapai pekerjaan wajar dan produktif bagi golongan bekerja sendiri.
Selain perlindungan sosial untuk pekerja gig, usaha lain untuk membantu pekerja informal beralih ke ekonomi formal adalah dengan memupuk pembangunan kemahiran dan menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat.
Disebabkan halangan kemasukan yang rendah, individu dengan kelayakan pendidikan yang terhad dan tiada pengalaman pekerjaan mempunyai akses kepada pekerjaan gig menerusi pertumbuhan pesat ekonomi platform digital.
Walaupun ekonomi platform menyediakan peluang pekerjaan kepada para belia yang menganggur atau dalam pekerjaan yang tidak sepadan dengan kelayakan mereka, pembangunan kerjaya dan mobiliti sosial mereka kekal tidak menentu dalam jangka masa panjang.
Banyak platform gig, terutamanya yang melibatkan pemandu e-hailing, memerlukan perkhidmatan dalam skala kecil yang selalunya membabitkan tugas berkemahiran rendah dan rutin. Satu survei yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 17 Februari 2023, mendapati bahawa lebih daripada 47.56 peratus pemandu p-hailing mempunyai tahap pendidikan SPM atau lebih rendah.
Kesan daripada peluang peningkatan kerjaya yang terhad serta pembangunan kemahiran yang terbatas amat merisaukan, kerana pemandu p-hailing ini mungkin berisiko mengalami penurunan kemahiran dalam jangka masa panjang.
Survei tersebut juga melaporkan lebih daripada seperempat daripada responden mempunyai pendapatan di bawah Gaji Minimum dan 97.71 peratus adalah belia berumur 15 hingga 30 tahun.
Ini menyerlahkan realiti yang membimbangkan di mana golongan belia berkemungkinan terperangkap dalam pekerjaan yang tidak wajar dengan gaji yang rendah serta pekerjaan yang kurang stabil, perlindungan yang tidak memadai dan persekitaran kerja yang tidak selamat.
Untuk menangani isu ini dengan serius, PERKESO telah memperkenalkan Inisiatif Bina Kerjaya yang menyediakan pembangunan kerjaya komprehensif untuk pekerja informal, terutamanya pekerja gig dengan kelayakan SPM dan ke bawah.
Matlamatnya adalah untuk menawarkan peluang secara formal bagi meningkatkan kelayakan dan kemahiran mereka melalui Pengiktirafan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (RPEL), kelayakan mikro (micro-credentials), atau latihan profesional yang disediakan oleh badan-badan yang diiktiraf seperti ACCA, BOE, dan MIA.
PERKESO juga menyediakan elaun kewangan selama tiga bulan sebagai gantian pendapatan untuk para peserta selain menawarkan perkhidmatan pekerjaan melalui MYFutureJobs.
Sehingga kini, lebih daripada 205,000 pekerja gig dilindungi PERKESO dan lebih 800 pekerja gig informal menyertai inisiatif Bina Kerjaya untuk pembangunan kerjaya serta peluang peralihan di antara pekerjaan formal dan informal.
Secara ringkasnya, saya ingin menekankan jurang dalam ekonomi digital yang sedang berkembang yang perlu kita tangani bersama. PERKESO akan terus berusaha meningkatkan akses kepada perlindungan sosial dan perkhidmatan pekerjaan untuk pekerja informal dan pencari kerja yang menganggur – selaras dengan EKONOMI MADANI.
Kesimpulannya, sama ada seseorang itu adalah pekerja formal, bekerja sendiri, ataupun pekerja gig platform, semuanya berhak mendapat pekerjaan yang wajar dan perlindungan sosial yang mencukupi.
Dr. Mohammed Azman Aziz adalah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO