MCA, MIC tak bertanding tiada kaitan dengan DAP - Nie Ching - Utusan Malaysia

MCA, MIC tak bertanding tiada kaitan dengan DAP – Nie Ching

TEO NIE CHING (dua dari kanan) menyampaikan replika cek sumbangan kepada Mohamad Hisyam di Ultimate MMA Fitness & Self Defence, Kulai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: DAP menolak tanggapan bahawa keputusan MCA dan MIC tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos depan tiada hubung kait dengan parti itu.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching berkata, tidak timbul isu perebutan kerusi memandangkan pembahagian adalah berdasarkan parti yang memenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan terus bertanding di kerusi berkenaan.

“Perbincangan pembahagian kerusi yang dilakukan adalah antara Pakatan Harapan (PH) dengan BN, bukannya secara terus membabitkan DAP dengan MCA dan MIC. Tambahan pula asas pembahagian adalah kerusi yang dimenangi mana-mana parti akan terus ditandingi parti tersebut. Jadi, tidak timbul isu perebutan kerusi yang ingin ditandingi.

“Walaupun mereka umum untuk tidak bertanding pada PRN di enam negeri tersebut, kita berharap mereka dapat mendukung semangat kerajaan perpaduan dengan menyokong calon-calon parti yang bertanding,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Ultimate MMA Fitness & Self Defence, Indahpura, di sini hari ini.

Pada lawatan tersebut, Nie Ching menyampaikan sumbanga sebanyak RM6,000 kepada Ketua Jurulatih MMA Cawangan Kulai, Mohamad Hisyam Kamarulzaman.

Rabu lalu, MCA dan MIC mengumumkan tidak bertanding dalam PRN meskipun Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini memberi jaminan semua parti komponen diberikan kerusi.

Ahmad Zahid dilaporkan berkata akan membincangkan keputusan MCA dan MIC untuk tidak bertanding pada pilihan raya enam negeri.

Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai menegaskan, parti itu tidak pernah meminta MCA atau MIC untuk tidak bertanding kerana perkara itu di luar kuasa parti tersebut.

“Pembahagian kerusi telah selesai, maka terpulang kepada BN untuk menentukan calon daripada parti mana yang akan bertanding termasuk calon daripada parti komponen itu.

“Saya tidak melihat bahawa keputusan MCA dan MIC tidak bertanding memberi laluan mudah buat DAP. Walaupun dulu kita adalah lawan, namun di bawah struktur kerajaan perpaduan, kita akan terus saling membantu antara satu sama lain,” katanya. – UTUAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN