MCA jelajah negeri pastikan ahli keluar mengundi

MCA jelajah negeri pastikan ahli keluar mengundi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MCA akan menjelajah ke semua enam negeri yang terlibat dalam pilihan raya negeri (PRN) bermula minggu ini untuk memastikan ahli-ah­linya keluar mengundi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, parti itu akan tetap setia bersama perjuangan Barisan Nasional (BN) kerana percaya gabungan itu mampu menjamin ke­sejahteraan, kesederhanaan dan kestabilan politik.

“Walaupun BN menghadapi kekalahan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang lepas disebabkan fitnah politik dan kes rasuah individu parti komponen di UMNO, tetapi parti itu masih percaya dan yakin dengan konsep, semangat dan tradisi pentadbiran BN.

“MCA juga yakin BN dan Pakatan Harapan (PH) akan mencapai kemenangan kerana sekarang PH khususnya DAP mempunyai pengaruh yang besar dalam media sosial, tidak lagi menjadikan MIC, MCA dan UMNO sebagai sasaran tembakan mereka secara khususnya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sebelum ini MCA dan MIC mengambil pendirian tidak bertanding dalam PRN pada 12 Ogos ini kerana mahu memberi tumpuan pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), namun sedia untuk terus membantu BN.

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghormati keputusan MCA dan MIC untuk tidak bertanding dalam PRN kali ini, namun ke­dua-dua parti itu tetap kekal menyokong Kerajaan Perpaduan.

Anwar berkata, beliau menghargai pendirian dan semangat ditunjukkan oleh kedua-dua parti itu di sebalik perebutan kerusi antara PH dan BN di enam negeri yang bertanding.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini mengumumkan PRN di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dijalankan serentak dengan 12 Ogos ditetapkan sebagai tarikh pengundian manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos.

Lian Ker juga berkata, pengundi-pengundi MCA dan MIC akan keluar mengundi untuk menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia, malah parti itu akan memastikan ahli-ahlinya eluar mengundi dan mendukung Kerajaan Madani. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×