KUALA LUMPUR: Barisan pembelaan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dibenarkan menarik balik permohonan untuk memindahkan tujuh kes daripada mahkamah sesyen ke mahkamah tinggi atas dakwaan menggunakan kedudukan untuk suapan dan menerima wang hasil aktiviti haram.
Hakim Mahkamah Tinggi, K. Muniandy membenarkan permohonan itu ditarik balik selepas peguam bela, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Muhyiddin memberitahu bahawa pihaknya menghantar surat berhubung permohonan itu kepada pendakwaan pada 5 Julai lalu.
Surat itu menyatakan terdapat tiga permohonan pemindahan kes dari mahkamah sesyen ke mahkamah tinggi yang mana terdapat asas kukuh bagi permohonan pemindahan.
Bagaimanapun, kata surat itu, ia tidak dipersetujui oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan berkeras menentang permohonan pemindahan berkenaan.
Kata surat itu lagi, terdapat permohonan membatal atau mengetepikan pertuduhan-pertuduhan kesalahan predikat terhadap pemohon (Muhyiddin) yang ditetapkan untuk pendengaran pada esok (11 Julai 2023) di Mahkamah Tinggi, di sini.
Jelas surat itu, permohonan pemindahan kes yang berlangsung hari ini menjadi akademik jika permohonan pembatalan pertuduhan dibenarkan.
“Oleh kerana kami berpendapat permohonan pemindahan akan menjadi akademik jika permohonan pembatalan dibenarkan, kami dengan ini menarik balik permohonan pemindahan,” kata surat itu.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shahruddin Wan Ladin mengesahkan perkara itu dan tidak mengemukakan sebarang bantahan.
Pada 8 Mei lalu, Muhyiddin memohon supaya pertuduhan menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan menerima wang hasil daripada aktiviti haram yang dihadapinya dibicara di Mahkamah Tinggi atas alasan kes berkenaan membabitkan persoalan undang-undang yang kompleks membabitkan Perlembagaan Persekutuan.
Pada 18 April lalu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), memfailkan notis usul bagi memohon supaya beliau dilepas dan dibebaskan daripada empat pertuduhan yang dikenakan terhadapnya pada 10 Mac lalu.
Menerusi afidavit sokongan yang difailkan bersama notis usul itu, beliau mendakwa keempat-empat pertuduhan adalah cacat dan tidak sah di sisi undang-undang.
Muhyiddin, sebagai Perdana Menteri (ketika itu) dan Presiden Bersatu, didakwa menggunakan kedudukan untuk suapan berjumlah RM232.5 juta daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn. Bhd., Nepturis Sdn. Bhd. dan Mamfor Sdn. Bhd. serta Datuk Azman Yusoff bagi parti itu.
Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.
Muhyiddin turut berdepan dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank milik Bersatu.
Ahli Parlimen Pagoh itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan di CIMB Bank Cawangan Menara KL, Jalan Stesen Sentral di sini antara 25 Februari 2021 dan 16 Julai 2021 serta 8 Februari dan 8 Julai 2022.
Beliau juga didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 13 Mac lalu atas satu pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM5 juta dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk dibicarakan bersama.
Prosiding hari ini turut dihadiri pasukan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib; Noralis Mat; Nor Asma Ahmad, Poh Yih Tinn dan Zander Lim Wai Keong.
Selain Poh Teik turut dibantu Datuk K. Kumaraendran; Rosli Dahlan; Amer Hamzah, Chetan Jethwani, Kee Wei Loon dan Teh See Khoon; Dev Kumaraendran dan Varsha Chelvi. -UTUSAN