Lima warga asing dicekup curi besi buruk - Utusan Malaysia

Lima warga asing dicekup curi besi buruk

LIMA lelaki warga asing ditahan kerana disyaki mencuri besi buruk dari sebuah tongkang di kedudukan 4.2 batu nautika Tenggara Tanjung Stofa, Pengerang, Kota Tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 Kukup menahan lima lelaki warga asing yang disyaki mencuri besi buruk dari sebuah tongkang di kedudukan 4.2 batu nautika tenggara Tanjung Stofa, Pengerang, Kota Tinggi.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kegiatan kumpulan tersebut dihidu selepas bot ronda yang sedang menjalankan Op Taring Gelora mengesan dua buah bot berada dalam keadaan mencurigakan di perairan tersebut pada pukul 8.50 malam tadi yang diikat pada sebuah tongkang yang membawa muatan besi buruk.

“Ketika pihak penguat kuasa PPM Wilayah 2 Kukup mendekati bot tersebut, beberapa suspek berada di atas timbunan besi buruk. Mereka didapati sedang memunggah besi buruk dari tongkat tersebut ke dalam bot pom pom berkenaan yang diikat pada tongkang tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kamarul Zaman berkata, suspek bertindak agresif setelah menyedari kegiatan mereka dikesan dengan merempuh bot ronda polis pada bahagian sisi hadapan namun tiada kemalangan jiwa berlaku.

Kumpulan suspek berkenaan berjaya ditangkap dan pemeriksaan mendapati terdapat 100 tan besi buruk dalam tongkang itu bernilai RM180,000.

“Semua besi buruk berkenaan termasuk dua buah bot dan enjin digunakan suspek bernilai RM40,000 dirampas.

“Suspek direman hingga 16 Julai ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali dan sebatan sehingga enam kali, jika sabit kesalahan,” katanya.

Masyarakat diminta terus menyalurkan sebarang maklumat kepada PPM Wilayah 2 menerusi talian 07-2372221 atau Bilik Gerakan Kontinjen Johor 07-2254074. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya