KUALA LUMPUR: Orang ramai diingatkan berhati-hati dengan tawaran khidmat sewa pembantu rumah warga asing dengan kadar RM2,300 setiap seorang yang diiklankan di dalam media sosial Facebook.
Taktik itu dilakukan sebuah agensi pekerjaan yang dipercayai beroperasi tanpa lesen untuk memperdaya mereka yang terdesak menginginkan pembantu rumah dengan segera.
Bagaimanapun, penipuan agensi itu terbongkar selepas lima individu yang menjadi mangsa apabila pembantu rumah mereka melarikan diri tampil membuat laporan polis membabitkan kerugian hampir RM100,000.
Akauntan yang mahu dikenali Denis Low, 49, mendakwa dia melihat iklan tawaran sewa pembantu rumah di Facebook pada 2021.
Wanita itu berkata, dia berminat dengan iklan itu lalu menghubungi seorang ejen syarikat yang dikenali Alvin untuk mendapatkan maklumat lanjut dan perlu membayar wang pendahuluan berjumlah RM7,000.
Menurutnya, dia membuat bayaran tetapi selepas beberapa bulan menunggu, lelaki itu gagal menghantar pembantu rumah seperti dijanjikan dan pelbagai alasan diberikan.
“Ejen kemudian tawarkan saya pembantu rumah kontrak kononnya proses itu lebih cepat. Saya sangat terdesak mahu pembantu rumah, jadi, saya setuju tapi perlu tambah bayaran pendahuluan menjadikan jumlah keseluruhan RM22,000.
“Sehingga Februari lalu, saya sudah menerima tiga pembantu rumah warga asing yang silih berganti kerana mereka melarikan diri selepas mendakwa tidak dibayar gaji sedangkan saya sudah buat bayaran kepada ejen. Malah pasport mereka juga disimpan ejen,” katanya dalam sidang akhbar di Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, kata Denis, dia yang berasa tidak puas hati memaklumkan kepada Alvin untuk tidak meneruskan kontrak dan meminta dia memulangkan semula wang yang diambil.
“Lelaki berkenaan bagaimanapun gagal dihubungi selain tidak memulangkan semula wangnya berjumlah RM7,000 dan semakannya di Facebook mendapati syarikat berkenaan sudah tidak beroperasi,” jelasnya.
Seorang lagi mangsa mahu dikenali Leong, 28, kerugian RM13,000 selepas diperdaya ejen sama bagi mendapatkan pembantu rumah warga asing dan menyertai pelaburan di syarikat berkenaan pada tahun lalu.
“Selain mendapatkan pembantu rumah, ejen itu turut tawarkan saya pelaburan di syarikat dengan menjanjikan keuntungan tinggi. Saya bersetuju lalu buat pemindahan wang pada Disember tahun lalu.
“Namun, pembantu rumah yang bekerja di rumah saya melarikan diri selepas beberapa bulan bekerja dan lelaki itu juga gagal dihubungi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, pihaknya berharap pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan bagi mengelak lebih ramai menjadi mangsa penipuan sindiket terbabit.-UTUSAN