PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil keterangan beberapa individu bagi membantu siasatan berhubung seorang aktivis wanita pelarian Myanmar dan ahli keluarganya yang didakwa diculik dalam kejadian di Ampang Jaya di sini pada 4 Julai lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, polis setakat ini telah merakam percakapan pengadu, pengawal keselamatan di kediaman mangsa serta beberapa saksi.
Menurut beliau, pihak polis telah berhubung dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bagi mendapatkan maklumat berkaitan lima beranak itu.
“Kita juga menjalankan siasatan bagi mengesahkan sama ada mereka diculik atau sebaliknya.
“Usaha mengesan aktivitis itu dan ahli keluarganya sedang dijalankan pihak polis,” katanya ketika dihubungi.
Pada 17 Julai lalu, Hussein mengesahkan polis membuka Kertas Enkuiri Polis (KEP) mengenai orang hilang selepas menerima laporan berhubung aktivis pelarian Myanmar dan ahli keluarganya hilang.
Terdahulu, kumpulan hak asasi, Human Rights Watch (HRW) mendakwa seorang aktivis pelarian Myanmar dan keluarganya diculik beberapa lelaki tidak dikenali di rumah mereka di Ampang Jaya.
Laporan tersebut menyebut lima beranak yang hilang itu ialah Thuzar Maung dan suaminya, Saw Than Tin Win serta tiga anak mereka.
Dakwa laporan itu lagi, kejadian itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan Thuzar dikatakan menjadi penyokong lantang gerakan pro-demokrasi di Myanmar.
“Kami bimbang dengan keselamatan Thuzar dan keluarganya yang diculik dalam operasi terancang. Kerajaan Malaysia perlu bertindak segera mencari keluarga itu dan memastikan keselamatan mereka.
“Sebuah kereta memasuki komuniti berpagar mereka pada pukul 4.30 petang, 4 Julai lalu dan memberitahu pengawal keselamatan mereka kononnya polis,” katanya.
Thuzar melarikan diri dari Myanmar pada 2015 sebelum wanita dan keluarganya diiktiraf UNHCR sebagai pelarian di Malaysia. – UTUSAN










