PONTIAN: Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua.
Perumpamaan itu sesuai diberikan kepada kumpulan penjenayah dikenali sebagai Geng Eddy apabila lima ahlinya berjaya diberkas polis dalam beberapa serbuan pada 3 Julai lalu hingga petang semalam di Sanglang dan Ayer Baloi, dekat sini dan Forest City di Gelang Patah serta Johor Bahru.
Difahamkan ahli kumpulan yang berusia antara 24 hingga 34 tahun itu aktif melakukan pecah rumah di daerah Pontian, Batu Pahat, Tangkak dan Muar.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata, kejayaan tersebut hasil kolaborasi antara Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tangkak.
“Dengan tumpasnya Geng Eddy ini, kita telah dapat menyelesaikan 13 kes pecah rumah di negeri itu yang melibatkan kerugian kira-kira RM350,000. Geng Eddy ini mula aktif melakukan jenayah pecah rumah pada Mei lalu pada waktu siang ketika penghuni tiada di rumah kerana keluar bekerja dan sebagainya.
“Kumpulan ini akan mengumpil pintu pagar dan tingkap untuk masuk ke dalam rumah dan mencuri barangan berharga seperti barang kemas, wang tunai serta beg berjenama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Susulan tangkapan itu, pihak polis berjaya merampas wang tunai termasuk won Korea, barang kemas, beg berjenama, telefon bimbit, komputer riba, pakaian, resit jualan emas dan peralatan pecah rumah, katanya sambil memberitahu kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Mohammad Shofee memberitahu, tiga daripada lima suspek direman selama 14 hari, manakala dua lagi akan direman bermula hari ini kerana tangkapan baru dilakukan petang semalam.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan bagi mana-mana kesalahan dilakukan bagi kali kedua atau seterusnya boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Pihak polis turut meminta bantuan orang ramai yang mengetahui di mana saki-baki ahli Geng Eddy supaya menghubungi balai polis berhampiran. – UTUSAN