KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang tular menunggang motosikal secara melawan arus sehingga mengakibatkan kematian penunggang motosikal Ducati di sebuah lebuh raya bulan lalu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu Mahkamah Majistret Ampang dekat sini.
Mudzyadaha Mohammad, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Amalina Basirah Md. Top.
Mengikut pertuduhan, Mudzyadaha sebagai penunggang motosikal didakwa menunggang motosikalnya dengan cara melawan arus jalan yang merbahaya kepada orang awam dan menyebabkan kematian terhadap penunggang motosikal Ducati Panigale, Ahmad Fadzil Omar Azaddin, 64.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 1.10 tengahari, 14 Jun lalu di Kilometer 22.2 Lebuhraya Sungai Besi Ulu Kelang (SUKE) di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang membawa hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan maksimum RM50,000, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, semasa prosiding berlangsung, peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Izleen Ismail memaklumkan, tertuduh merupakan seorang pesakit mental yang juga orang kelainan upaya (OKU) dan mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Semasa kejadian, tertuduh tidak berfikir dengan waras sehingga berlakunya pelanggaran secara berlawanan arus, jadi, saya pohon pada mahkamah membenarkan untuk tertuduh menjalani ujian psikiatri dibawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Annur Athirah Amran, tidak membantah dengan permohonan peguam tersebut.
“Disebabkan tertuduh mengaku tidak bersalah dan peguam memohon untuk tertuduh menjalani ujian psikiatri, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM15,000 dan pasport diserahkan kepada mahkamah,” kata Annur.
Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, Amalina kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dan turut membenarkan permohonan agar tertuduh menjalani ujian psikiatri.
Selain itu, hukuman itu turut memperuntukkan hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun dari tarikh sabitan.
“Syarat lain, tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan sekali setiap bulan dan lesen memandu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai,” kata Majistret Amalina.
Pada 14 Jun lalu, media melaporkan, seorang penunggang motosikal Ducati Panigale meninggal dunia akibat parah selepas terbabas dan terjatuh dari jejambat Lebuhraya SUKE apabila cuba mengelak penunggang motosikal lain yang melawan arus.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari itu, telah menyebabkan mangsa melanggar penghadang sebelah kiri jalan lalu terhumban dan jatuh ke bawah pada ketinggian lebih kurang 30 Meter.
Selain itu, motosikal yang ditunggang mangsa juga terseret ke tengah jalan dan mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap di belakang pagar Stesen Kawalan Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn. Bhd. (SMART) Sungai Klang.
Ekoran kemalangan itu, suspek yang menunggang motosikal secara lawan arus mengakibatkan kemalangan maut di SUKE sudah tampil membuat laporan pada 16 Jun lalu.
Siasatan polis mendapati, lelaki tempatan berusia 41 tahun itu menunggang secara demikian kerana tersesat lalu mengambil keputusan menaiki jejambat lebuh raya SUKE untuk ke rumahnya di Kajang.
Sejurus selepas kejadian, satu rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) kemalangan maut penunggang motosikal berkuasa tinggi melibatkan kemalangan itu, telah diserah kepada Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk diteliti. -UTUSAN