PETALING JAYA: Selepas hampir sembilan tahun diburu, seorang lelaki warga asing ditahan polis pada 23 Jun lalu di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Suspek berusia 38 tahun itu dipercayai membunuh kenalan lelaki dalam kejadian di Taman Cahaya, di sini, pada 5 September 2015.
Ketua Polis Daerah Ampang Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, suspek yang juga pengutip sampah pada pukul 12.30 tengah malam.
Katanya, kejadian bunuh itu dipercayai berlaku pada 8.30 malam pada 5 September 2015 melibatkan seorang lelaki warga asing berusia 29 tahun (semasa kejadian) sedang bekerja sebelum didatangi suspek.
“Semasa kejadian, suspek dalam keadaan mabuk dan mangsa menegurnya supaya keluar. Namun, apabila ditegur, berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek
“Punca kejadian dipercayai akibat teguran mangsa terhadap suspek yang berada dalam keadaan mabuk,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Azam berkata, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Ampang dan disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital berkenaan susulan kecederaan di belakang badan serta tangan akibat kesan tikaman.
“Hasil maklumat diperoleh, kami melakukan serbuan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada 23 Jun lalu dan menahan suspek.
“Ujian saringan awal air kencing dilakukan terhadap suspek juga mendapati suspek positif dadah jenis amphetamin dan methamphetamin,” katanya.
Beliau berkata, kertas siasatan kes itu dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan sudah menerima arahan untuk dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Suspek akan dituduh di Mahkamah Ampang pada 10 pagi esok,” katanya.-UTUSAN










