Lebih RM300 bilion untuk tampung kos penyakit tidak berjangkit 

Lebih RM300 bilion untuk tampung kos penyakit tidak berjangkit 

ZALIHA Mustafa merasmikan Majlis Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 diiringi oleh Ketua Jabatan Oftamologi dan Ketua Pusat Penyelidikan Klinikal Hospital Shah Alam, Datuk Dr Nor Fariza Ngah di Hotel Tenera, Bandar Baru Bangi di sini hari ini. -GAMBAR/ AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Lebih RM300 bilion daripada keseluruhan hasil Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) digunakan untuk menampung kos penyakit tidak berjangkit (NCD) rakyat Malaysia.

Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa menjelaskan, beban penyakit NCD terhadap ekonomi negara setakat ini amat tinggi. 

“Anggaran kos beban penyakit kardiovaskular, diabetes dan kanser di Malaysia adalah antara RM100.8 bilion hingga RM302.4 bilion bersamaan 7.4 peratus hingga 22.0 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau Gross Domestic Product (GDP) pada tahun 2017. 

“Beban NCD yang sangat besar ini sudah tentunya memberi kesan negatif kepada pembangunan negara kita.

“Data NHMS 2019 kita juga menunjukkan lebih 80 peratus daripada mereka yang menghidap penyakit NCD ini mendapatkan rawatan mereka di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam ucapan perasmian Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi atau lebih dikenali sebagai National Health and Morbidity Survey (NHMS).

Tinjauan tersebut akan dijalankan oleh Institut Kesihatan Umum (IKU) dan melibatkan kira-kira 6,000 isi rumah yang dipilih secara rawak bagi mendapatkan data kesihatan menyeluruh NCD kalangan penduduk Malaysia. 

Menurut Zaliha, statistik NCD dalam negara adalah pada kadar yang membimbangkan. 

Data NHMS 2019 menunjukkan 18.3 peratus ataupun 3.9 juta populasi dewasa berumur 18 tahun dan ke atas di Malaysia menghidap diabetes.

Dalam pada itu, 30 peratus atau 6.4 juta orang menghidap penyakit tekanan darah tinggi dan 38.1 peratus atau 8.1 juta orang mempunyai masalah kolesterol tinggi

Dalam ucapannya, Zaliha menjelaskan modul utama dalam NHMS tersebut bagi tahun 2023 merangkumi faktor-faktor risiko NCD serta permintaan jagaan kesihatan.

“Kajian ini melibatkan kira-kira 6,000 isi rumah yang dipilih secara rawak di seluruh Malaysia manakala tempoh pengumpulan data adalah selama tiga bulan dari Julai hingga September 2023.

“Sebanyak 36 pasukan pengumpul data akan mengumpul data di lapangan daripada lebih kurang 21,000 responden. Pasukan-pasukan ini akan melawat semua isi rumah yang dipilih dan aktiviti pengumpulan data merangkumi temubual secara bersemuka, self- administered questionnaires dan penilaian klinikal seperti antropometri, tekanan darah, glukosa dan kolesterol dalam darah.

“NHMS 2023 dijangka dapat memberikan maklumat terperinci yang terkini tentang status kesihatan penduduk di Malaysia. Hasil dapatan kajian ini akan membolehkan Kementerian Kesihatan menilai dasar prioriti dan strategi program kesihatan di negara ini,” ujarnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN