JOHOR BAHRU: Perkhidmatan Terminal Pengangkutan Awam Larkin Sentral dan Pasar Awam Larkin beroperasi seperti biasa bermula hari ini.
Pengurusan Larkin Sentral dalam satu kenyataan memberitahu, premis itu telah beroperasi seperti biasa bermula pukul 5.30 pagi.
“Kawasan bangunan Terminal, platform bas dan Masjid An-Nur Larkin Sentral telah dibuka semula kepada orang awam terutamanya penumpang bas. Sebahagian kawasan yang ditandakan di Aras Bawah dan Aras Satu ditutup sehingga ke suatu tarikh yang akan ditentukan kelak bagi kerja-kerja siasatan, pembersihan dan baik pulih.
“Bangunan pasar, bazar dan medan selera juga akan dibuka semula seperti biasa bermula hari ini,” demikian menurut kenyataan itu.
Justeru, para pengunjung dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi arahan daripada pihak polis bantuan dan keselamatan serta menjauhkan diri dari kawasan kebakaran.
Kelmarin, operasi di Larkin Sentral terjejas apabila kebakaran kira-kira pukul 6.30 pagi memusnahkan empat premis perniagaan yang terletak di Aras Satu bangunan tersebut.
Kebakaran tersebut dipercayai bermula dari sebuah kedai bahan bacaan di Aras Satu premis berkenaan, namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan. – UTUSAN