SEREMBAN: Kementerian Pendidikan (KPM) akan menyediakan panduan kepada Pengarah Kolej Pra-Universiti KPM bagi pengambilan pelajar berkelayakan melanjutkan pengajian di kolej tersebut di seluruh negara pada minggu hadapan.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali berkata lagi, panduan berkenaan susulan kuasa autonomi yang diberikan Pengarah Kolej Pra-Universiti KPM bagi pengambilan pelajar yang berkelayakan di institusi berkenaan.
“Kami (KPM) sedang menyediakan panduan ia supaya Pengarah kolej dapat melaksanakan perkara (autonomi) ini. Insya-Allah dalam minggu hadapan (garis panduan).
“Perkara (seperti) ini telah pun berlaku di peringkat asrama penuh bagi memberikan autonomi kepada Pengetua dan Kolej Vokasional bagi mengisi kekosongan yang ada.
“Sekarang ini proses rayuan untuk kemasukan dahulu, kemudian secara autonomi itu pula yang masuk. Kita perlu mengutamakan yang rayuan dahulu kerana yang rayuan itu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mereka lebih baik daripada yang kita mahu benarkan secara autonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Nasional Ke-30 (SN30) Kementerian Pendidikan Ke Arah Malaysia Madani di Institut Aminuddin Baki, Bandar Enstek, Nilai di sini hari ini.
Semalam, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, KPM memberi kuasa autonomi kepada Pengarah Kolej Pra-Universiti KPM untuk pengambilan pelajar yang berkelayakan melanjutkan pengajian di kolej tersebut di seluruh negara mulai tahun ini.
Jelasnya, pengambilan pelajar untuk melanjutkan pelajaran di tingkatan enam sebelum ini dikendalikan oleh KPM.
Sementara itu, Pkharuddin berkata, seminar berkenaan merupakan agenda tahunan pemimpin dan pengurusan organisasi pendidikan untuk berkongsi pengetahuan, pengalaman, amalan terbaik bidang pengurusan dan kepemimpinan pendidikan pada era baharu.
“Bertemakan Kepimpinan Pendidikan Ke Arah Malaysia Madani, SN30 memfokuskan memperkasa pemimpin pendidikan untuk disesuaikan dengan usaha mencorakkan semula pendidikan disamping mewujudkan jaringan kesarjanaan dalam kalangan pemimpin dan pengurusan pendidikan seluruh negara.
“SN30 juga turut membincangkan isu dan cabaran terkini pendidikan bagi mengenal pasti sokongan yang diperlukan dan memperkasa Institut Aminuddin Baki sebagai pusat rujukan bidang pengurusan dan kepimpinan pendidikan,” katanya.
Ia disertai lebih 350 orang peserta secara bersemuka dan lebih 6,000 penyertaan dalam talian yang terdiri daripada pemimpin sekolah dan organisasi pendidikan iaitu pengetua, guru besar, pemimpin pertengahan sekolah, pegawai di Jabatan Pendidikan negeri, pengarah institut pendidikan guru dan pensyarah Kolej Matrikulasi.
Seminar tersebut akan mengumpulkan 50 kertas pembentangan dan setiap kertas kerja yang dibentangkan akan berpeluang dipilih sebagai artikel terbaik dan pembentang terbaik serta akan kesemua artikel akan diterbitkan dalam buku prosiding SN30 pada tahun ini.
Dalam perkembangan lain, Pkharuddin memberitahu, peruntukan sebanyak RM70,000 bagi setiap sekolah untuk membaik pulih bangunan sekolah yang daif di seluruh negara akan mula disalurkan minggu ini.
Bagaimanapun katanya, peruntukan itu akan memberi keutamaan terlebih dahulu kepada sekolah untuk tujuan membaiki tandas yang menjadi fokus Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Peruntukan sudah pun disalurkan dalam minggu ini. Duit (peruntukan) itu boleh diguna pakai bagi sekolah bagi membaiki tandas manakala bagi sekolah yang sudah sempurna mereka boleh membuat penyelenggaraan yang lain,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM1.4 bilion untuk menambah baik bangunan sekolah daif di seluruh negara.–UTUSAN.