Kita tetap lindungi hak pesara -PM

Kita tetap lindungi hak pesara -PM

ANWAR Ibrahim (dua dari kanan) merasmikan "International Social Wellbeing Conference (ISWC)" serta melancarkan aplikasi KWSP I-Akaun di Hotel Mandarin Oriental di sini hari ini.- UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mekanisme baharu akan diperkenalkan bagi melindungi pesara kerajaan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan membatalkan pindaan Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 (PAA).

Perdana Menteri berkata, beliau menghormati keputusan mahkamah, namun, ia tidak bermakna hak pesara akan terjejas selepas ini.

“Kita ambil serius isu ini dan kita akan terus mempertahankan (hak pesara).

“Kita hormati keputusan mahkamah, tetapi, kita ada mekanisme untuk melindungi pesara dan ia akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa Ke-10 2023 (ISWC 2023).

Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengisytiharkan undang-undang pencen yang dipinda sebagai terbatal dan tidak sah selepas menolak rayuan kerajaan serta Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk membatalkan keputusan itu.

Hakim Besar Malaya, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah berkata, Seksyen 3 dan 7 Akta Pelarasan Pencen (Pindaan) 2013 (PAA) yang membenarkan kenaikan dua peratus setiap tahun, kurang memihak kepada pesara dan dengan itu, melanggar Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan.

Pada 13 Januari tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengisytiharkan bahawa pindaan Seksyen 3 dan 7 yang berkuat kuasa mulai 1 Jan 2013 adalah terbatal dan tidak sah kerana melanggar Perkara 147 Perlembagaan Persekutuan.

Aminah Ahmad yang bersara sebagai penjawat awam di Kementerian Luar menyaman kerajaan dan Ketua Pengarah JPA atas kapasiti peribadi serta bagi pihak 56 pesara perkhidmatan awam kerana mendakwa pindaan kepada PAA 2013 mengakibatkan keadaan kurang memberi manfaat kepada beliau berbanding skim pelarasan persaraan sebelum ini di bawah PAA 1980.

Di bawah skim lama, pencen pesara disemak berdasarkan gaji lazim penjawat awam dalam gred yang berkenaan. 

Bagaimanapun, pindaan 2013 diperkenal berdasarkan kadar rata dua peratus kenaikan tahunan.

Aminah pada mulanya gagal di Mahkamah Tinggi apabila kesnya ditolak pada 2020 namun beliau telah merayu kepada Mahkamah Rayuan yang membuat keputusan memihak kepadanya manakala kerajaan dan Ketua Pengarah JPA pula mendapat kebenaran merayu tahun lalu. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN