PETALING JAYA: Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) menggesa kerajaan menubuhkan satu pasukan bertindak khas untuk menangani isu individu tanpa kerakyatan di negara ini supaya hak asasi golongan tersebut tidak disisihkan.
Pengerusinya, Azril Mohd. Amin berkata, pihaknya sebelum ini pernah menggariskan cabaran dihadapi golongan kanak-kanak tanpa kerakyatan yang dinafikan hak untuk mendapatkan akses pendidikan, penjagaan kesihatan dan undang-undang perlindungan.
Menurutnya, pihaknya juga turut menekankan peranan masyarakat yang inklusif ke arah pembangunan mapan selaras dengan kehendak Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC) 1989.
“Laporan kami menggesa penubuhan satu pasukan bertindak khas untuk menangani isu individu tanpa kerakyatan, menyemak semula dasar kewarganegaraan untuk memastikan akses yang sama kepada pendidikan, penjagaan kesihatan dan perlindungan undang-undang kepada mereka.
“Kami turut menyediakan cadangan komprehensif untuk menangani isu yang dikenal pasti demi mempertingkatkan hak asasi manusia di Malaysia,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
Menurut Azril, laporan tersebut sudah pun diserahkan untuk Semakan Berkala Sejagat Kitaran Ke-4 Malaysia (UPR) 2023 oleh jawatankuasa kerja, Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC).
Ulas beliau, pihaknya kekal komited untuk melibatkan diri dengan semua pihak berkepentingan dan bekerja secara kolaboratif ke arah promosi dan perlindungan hak asasi manusia di Malaysia.
“Kami berharap agar laporan kami akan menyumbang ke yang arah perbincangan atau dialog bermakna serta perubahan positif demi mengangkat nilai hak asasi manusia di Malaysia,” katanya.
Sementara itu, dalam laporan sama, Azril berkata, CENTHRA juga menumpukan isu reformasi penjara di Malaysia.
“Mengenai reformasi penjara, CENTHRA mengetengahkan isu kesesakan di penjara di Malaysia dan keperluan bagi langkah yang berkesan untuk menangani peningkatan bilangan banduan serta menambah baik taraf kemudahan fasiliti penjara yang semakin merosot.
“CENTHRA mengiktiraf usaha terpuji dilakukan oleh Jabatan Penjara Malaysia serta mencadangkan langkah selanjutnya yang diperlukan bagi memastikan hak dan kesejahteraan banduan, termasuk akses kepada pengajaran dan pendidikan agama, perwakilan undang-undang mencukupi selain keadaan penahanan yang lebih baik,” katanya.
Beliau juga menyeru pihak berkuasa berkaitan untuk mengukuhkan mekanisme pemantauan, menambah baik syarat penahanan, meningkatkan perwakilan undang-undang, menggubal undang-undang yang diperlukan dan menyepadukan program pendidikan holistik di penjara dan kemudahan pemulihan.-UTUSAN