KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dalam kes salah guna kedudukan membabitkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mempunyai sebarang kewajiban untuk menyatakan bagaimana kesalahan itu dilakukan.
Sungguhpun begitu, pertuduhan yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri itu adalah lengkap, tidak cacat dan menunjukkan kesalahan yang jelas di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Ini kerana penyalahgunaan kuasa bukanlah elemen pertuduhan yang perlu kami buktikan semasa perbicaraan. Pemohon tidak boleh datang ke mahkamah dalam keadaan celaru meminta butiran pertuduhan.
“Permohonan mereka juga adalah suatu penyalahgunaan proses mahkamah serta berlandaskan penggunaan peruntukan undang-undang yang salah dan salah tanggapan perundangan (misconception of law). Justeru, mahkamah tidak boleh menggunakan kuasa yang wujud untuk membatalkan pertuduhan-pertuduhan yang dihadapi oleh pemohon.
“Untuk peringkat sekarang, adalah terlalu awal untuk menyatakan pertuduhan yang dihadapi beliau cacat kerana pertuduhan adalah lengkap dari segi Muhyiddin merupakan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, suapan yang didakwa diterima antaranya adalah dari tiga syarikat. Kami tidak faham apa lagi yang pihak pemohon mahukan,” hujah Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib.
Selain itu, seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin menyatakan, berdasarkan Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan, hak-hak Muhyiddin selaku pemohon masih terjaga kerana pada peringkat ini perbicaraan kes masih belum bermula.
“Kesemua dakwaan pemohon adalah pramatang dan tindakan memulakan permohonan (untuk membatalkan pertuduhan) boleh diputuskan sebagai tindakan yang tidak berperlembagaan.
“Dalam apa jua keadaan, pada peringkat ini, hak pemohon di bawah Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan dijamin kerana segala prosedur-prosedur mengikut undang-undang sedia ada khususnya Kanun Tatacara Jenayah dipatuhi oleh pihak pendakwaan selaku responden,” katanya.
Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya itu berhujah demikian dalam permohonan Muhyiddin atau nama sebenarnya, Mahiaddin Md. Yasin untuk membatalkan empat pertuduhan yang dihadapinya.
Pada 10 dan 13 Mac lalu, Muhyiddin didakwa atas tujuh pertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini dan Shah Alam atas pelbagai pertuduhan membabitkan empat pertuduhan salah guna kedudukan membabitkan rasuah berjumlah RM232.5 juta dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram wang berjumlah RM200 juta.
Permohonan untuk membatalkan pertuduhan hanya membabitkan pertuduhan salah guna kedudukan.
Terdahulu, peguam bela, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Muhyiddin menghujahkan bahawa kesemua empat pertuduhan salah guna kedudukan adalah cacat kerana responden (pendakwaan) gagal memeprincikan cara kesalahan tersebut dilakukan.
“Kesemua pertuduhan adalah sama dari segi perkataan yang digunakan kecuali masa, tempat kejadian, lokasi dan jumlah terlibat. Oleh itu kami memohon agar pertuduhan-pertuduhan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM ini dibatalkan kerana tidak mendedahkan cara kesalahan dibuat dan merupakan salah guna proses,”kata peguam itu.
Selepas mendengar Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan 15 Ogos ini untuk keputusan permohonan tersebut.
Menurut afidavit yang difailkan pada 18 April lalu, Muhyiddin antara lain menyatakan pihak pendakwaan mempunyai tanggung jawab mandatori untuk menyatakan secara spesifik cara kesalahan tersebut dilakukan bagi memastikan bahawa hak beliau sebagai tertuduh dilindungi.
Kegagalan pihak pendakwaan yang dinamakan sebagai responden dalam notis usul tersebut, dakwa Muhyiddin, menyebabkan beliau tidak dapat memberikan arahan yang betul bagi membolehkan satu pembelaan atau representasi yang wajar dibuat.
Kegagalan responden juga menjejaskan haknya untuk hidup kerana pertuduhan tersebut memaksanya membayar yuran guaman, meminjam wang daripada keluarga dan rakan bagi membayar jamin RM2 juta dan perlu menyerahkan pasport antarabangsanya bagi mengelakkan dirinya ditahan di penjara sehingga kes selesai.
Selain itu, pertuduhan-pertuduhan yang dihadapinya menyebabkan beliau sering berasa bimbang dan tertekan sekaligus menjejaskan kesihatan mentalnya.
Selain itu, Ahli Parlimen Pagoh itu menyatakan Parti Bersatu tidak boleh dianggap sebagai sekutu atau organisasi kerana ia merupakan sebuah pertubuhan yang berdaftar mengikut Akta Pertubuhan 1966.-UTUSAN










