Kenyataan MOT perjelas isu ‘Kedah tak pernah mohon

Kenyataan MOT perjelas isu ‘Kedah tak pernah mohon pembangunan KXP’

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kenyataan Kementerian Pengangkutan (MOT) berhubung pembangunan Kedah Aerotropolis semalam, menjawab sendiri kenyataan menterinya di Parlimen pada 8 Mac lalu yang mendakwa kerajaan Kedah tidak pernah mengemukakan sebarang permohonan.

Justeru, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, isu ‘Kedah tidak pernah memohon untuk membangunkan KXP’ seperti disebut Anthony Loke Siew Fook sebelum ini tidak relevan dan tidak seharusnya dibangkitkan lagi.

Katanya, kerajaan seharusnya cakna dengan ketegasan peringatan Sultan Kedah yang dua kali menitahkan agar diberi pertimbangan sewajarnya untuk menyegerakan kelulusan projek itu demi kepentingan rakyat serta tidak dipengaruhi kepentingan politik.

“Kerajaan Kedah berharap perbincangan lanjut berhubung projek ini dapat diadakan segera bersama Perdana Menteri seiring titah Tuanku Sultan yang mahu momentum pertumbuhan ekonomi Kedah yang sedang berkembang pesat terus dikekalkan.

“Masalah sebenar Perdana Menteri ialah beliau enggan beri ruang untuk dengar penjelasan kita mengenai perkembangan projek setelah tiga pucuk surat diutus untuk memohon pertemuan. Dalam masa sama, beliau membuat kenyataan seolah-olah tahu segalanya,” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Mengulas lanjut, kata Muhammad Sanusi, alasan keselamatan negara yang dibangkitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim juga kurang cermat kerana perkara yang dijadikan alasan untuk mengelak kelulusan projek itu sudah ditangani melalui pelbagai sesi libat urus dan perundingan.

“Jawatankuasa Teknikal KXP AirportCity sebagai syarikat milik penuh kerajaan Kedah selaku pemaju projek menyelesaikan isu itu dengan semua jabatan dan agensi kerajaan sejak sembilan tahun dahulu.

“Laporan berkaitan isu terbabit juga sudah beberapa kali dibentangkan oleh konsultan yang dilantik oleh KXP AirportCity dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, jawatan kuasa itu dianggotai beberapa pakar dan diketuai oleh Tan Sri Ir. Dr. Jamilus Husin yang mengetuai pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Oleh demikian, amat mustahil untuk seorang tokoh yang mahir dan berpengalaman itu tidak memberikan perhatian kepada perkara asas yang berkaitan keselamatan negara dalam projek Kedah Aerotropolis.

“Laporan penuh National Airports Strategic Plan (NASP) hanya akan siap hujung tahun ini. Justeru, apa yang disebut dalam kenyataan MOT berkaitan dapatan kajian itu hanya atas sifat semasa dan bukanlah muktamad. 

“Akan ada perkembangan dari masa ke semasa yang boleh mempengaruhi laporan akhir NASP nanti. Saya ingin ingatkan MOT supaya tidak membuat keputusan, pendirian atau kenyataan dengan memanipulasi kajian yang diusahakan menggunakan wang rakyat itu semata-mata untuk kepentingan politik kepartian,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya