KOTA BHARU: Pemilik Erfan Gym & Fitness, Erfan Akif mendedahkan satu perjajian kerahsiaan (NDA) antara beliau dengan pemilik Kelantan FC Norizam Tukiman atau Zamsaham sudah dimeterai di sini semalam.
Erfan Akif berkata, bagaimanapun isi kandungan NDA itu tidak boleh didedahkan kepada umum kerana masih dalam perbincangan dan rundingan bersama Zamsaham.
“Apa-apa keputusan sama ada saya menjadi pemilik penuh, membeli saham atau rakan rakan strategik utama Kelantan FC akan dimaklumkan selepas ini.
“Doakan yang baik-baik supaya usaha murni ini menjadi kenyataan demi Kelantan FC,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Erfan Akif memberitahu, apa yang dilakukan itu memperlihatkan kesungguhannya untuk membantu The Red Warriors (TRW) yang menjadi ‘jiwa’ seluruh rakyat negeri ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Erfan Gym & Fitness kekal konsisten dengan keputusan untuk membeli Kelantan FC daripada pemilik pasukan ketika ini iaitu Norizam Tukiman atau Zamsaham.
Pemiliknya, Erfan Akif Ruslan bagaimanapun berkata keputusan berkait pemilikan penuh ke atas Kelantan FC akan diputuskan selepas mengadakan pertemuan empat mata dengan Zamsaham.
Menurutnya, hasil perbincangan itu akan jadikan sebagai panduan dalam membuat keputusan.-UTUSAN