Kekecohan KLIA: Tiada elemen rasuah, hanya salah faham - Utusan Malaysia

Kekecohan KLIA: Tiada elemen rasuah, hanya salah faham

Siasatan SPRM mendapati dia pelakuan rasuah dalam kejadian kecoh di KLIA pada 29 Jun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mene­mukan sebarang elemen ra­suah membabitkan penolakan dua wanita China ke negara ini sehingga menimbulkan kekecohan di balai ketibaan Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pada 29 Jun lalu.

Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, siasatan awal mendapati, tiada sebarang pembayaran wang dibuat terhadap mana-mana individu selepas mereka tidak dibenarkan oleh imigresen memasuki negara ini.

Kata sumber itu, kekecohan yang berlalu berpunca daripada kekeliruan dan salah faham membabitkan dua pelancong itu dengan ‘orang tengah’ atau ‘ejen’ yang dihubungi sebaik mereka dikenakan tindakan Notis Penolakan Masuk (NTL) memasuki Malaysia.

Mereka yang terkandas te­lah dihubungi ejen menggunakan aplikasi WeChat bagi membantu menyelesaikan masalah mereka.

“Semakan di aplikasi Wechat, ada menyatakan amaun mengenai pembelian tiket pulang ke negara asal dan bayaran dikenakan oleh ejen.

EJEN

“Disebabkan masalah komunikasi antara kedua-dua pihak ini (dua wanita China dan ejen) telah menimbulkan salah faham kononnya berlaku rasuah di KLIA, bagaimanapun siasatan lanjut masih diteruskan berhubung perkara ini,” kata sumber ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, Utusan Malaysia difahamkan, Jabatan Imigresen Malaysia boleh mengeluarkan notis NTL kepada mana-mana pelawat asing yang tidak memenuhi syarat kemasukkan di negara ini.

Selepas notis NTL dikeluarkan, pelawat-pelawat ber­kenaan menjadi tanggungjawab kepada syarikat penerbangan yang mereka naiki untuk pulang ke negara asal masing-masing.

Difahamkan, pelawat asing yang dikenakan tindakan NTL akan ditempatkan di sebuah bilik yang mempunyai kelengkapan tempat duduk di lapa­ngan terbang sebelum penghantaran pulang ke negara asal.

Disebabkan terlalu ba­nyak syarikat penerbangan di KLIA, Jawatankuasa Pengendali Sya­rikat Penerbangan (AOC) me­ngambil inisiatif melantik sebuah syarikat swasta bagi menguruskan pelawat-pelawat NTL.

Syarikat swasta tersebut akan bertanggungjawab me­nguruskan kebajikan pelawat NTL seperti menyediakan makan dan minum sementara menunggu penerbangan pulang ke negara asal tetapi tidak termasuk menguruskan tiket pulang.

MENAWARKAN

Atas inisiatif kakitangan syarikat yang menguruskan NTL, mereka akan menawarkan pembelian tiket pulang kepada pelawat-pelawat asing tersebut namun ia sering di­salah erti dan mereka beranggapan imiresen yang mahu menerima wang rasuah.

Sebagai rekod, pelancong yang tiba ke negara ini diberikan NTL atas pelbagai sebab antaranya faktor ketulenan pasport, isu visa, rekod jenayah dan kebimbangan me­ngenai isu keselamatan.

Sebelum ini, tular kejadian kecoh di KLIA susulan penolakan kemasukan pelawat China dikenali sebagai Wang Xu yang dilakukan mengikut prosedur serta selaras Arahan Tetap Ke­tua Pengarah Imigresen Bil. 09 Tahun 2017.

Memetik laporan sebuah portal, ketika soal siasat, subjek tidak memenuhi syarat kemasukan pelancong kerana tidak memiliki tiket pulang serta gagal menyatakan dengan jelas di mana penginapannya sepanjang berada di Malaysia.

Pada 5 Julai lalu, SPRM mengesahkan sudah mengambil keterangan 14 individu berhubung dakwaan terdapat elemen rasuah dalam kalangan pegawai dan anggota imigre­sen di pintu masuk negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, individu yang diambil kete­rangan termasuk seorang menteri, lapan kakitangan imigre­sen serta wanita warga China bersama rakannya.
Menurutnya, pada masa sama pihaknya sedang mengesan ejen disyaki warga asing didakwa menghubungi rakan kepada wanita warga China tersebut bagi menjalankan siasatan lanjut.

Azam berkata, pihaknya mengesyaki ejen tersebut me­rupakan warga asing selepas mereka berhubung menggunakan aplikasi WeChat selain ejen tersebut mungkin berkhid­mat dengan syarikat dilantik pihak yang menguruskan NTL di KLIA.

Justeru, SPRM akan memang­gil keterangan beberapa pihak lagi antaranya Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) dan syarikat yang menguruskan NTL beroperasi di KLIA sejak 2017 berkaitan isu itu.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×