TUMPAT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan menyerbu sebuah stesen minyak yang disyaki menjual petrol untuk tujuan penyeludupan di sini awal pagi tadi.
Serbuan pukul 4 pagi itu dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa yang bertindak atas maklumat awam berkait dengan aktiviti penyeludupan.
Pengarahnya, Azman Ismail berkata, semasa serbuan dilakukan KPDN Kelantan menjadi seorang lelaki sedang leka mengisi petrol ke dalam tong jerikin dalam keadaan gelap.
Menurutnya, lelaki tersebut terus bertindak melarikan diri meninggalkan kereta jenis Proton Wira sejurus menyedari kehadiran anggota penguat kuasa.
“Hasil pemeriksaan ke atas kereta wira itu, kita telah menjumpai tong-tong jerikin mengandungi 925 liter petrol bernilai RM1,896.25.
“Pemeriksaan lanjut mendapati pemilik stesen disyaki melanggar arahan pengawal bekalan dengan membenarkan mana-mana individu membuat pengisian kedalam tong dan bukan didalam tangki asal kenderaan tanpa kebenaran yang sah dari pengawal bekalan serta penjualan secara berulang kali,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Azman memberitahu, kes disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 12 (a) Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974.
Katanya, pekerja stesen telah ditahan untuk membantu siasatan manakala pemilik pula akan dipanggil dalam masa terdekat.
“KDPN Kelantan akan terus melipat gandakan operasi dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu atau kumpulan yang melanggar peraturan dengan terlibat dalam aktiviti penyeludupan.
“Operasi stesen minyak di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini bermula seawal pukul 7 pagi,” ujarnya.-UTUSAN