PETALING JAYA: Beberapa individu berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) termasuk suspek utama, Low Taek Jho atau Jho Low kini dalam radar Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Difahamkan, selain Jho Low, individu lain dalam buruan polis berkaitan 1MDB dan SRC International Sdn Bhd ialah ahli perniagaan, Terence Geh Choh Heng, Casey Tang Keng Chee, Eric Tan Kim Loong dan Nik Faisal Ariff Kamil.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, bagaimanapun, pihaknya tidak dapat mendedahkan lokasi keberadaan suspek bagi tidak menjejaskan taktikal siasatan.
“Bagaimanapun, kita tidak pernah menghentikan sebarang siasatan melibatkan 1MDB. Kalau bekas peguam 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan pun kita tahan.
“Jadi, tidak mustahil yang lain (individu) pun juga akan ditahan. Beberapa individu dalam radar kita,” katanya dalam sidang akhbar khas di Bukit Aman semalam.
Mei lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low bersembunyi di Macau.
Pada 2020, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador turut mendedahkan, beberapa individu termasuk Jho Low dan suspek lain bersembunyi di China.
Antaranya, bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International yang juga sebahagian daripada 1MDB, Nik Faisal Ariff Kamil, dipercayai berada di Hong Kong manakala seorang lagi bekas pegawai dana itu, Jasmine Loo, dipercayai berada di Shenzhen, China.
“Jho Low hampir bebas menjalankan urusannya di Macau dan kami memohon bantuan pihak berkuasa negara itu,” katanya.-UTUSAN