PETALING JAYA: Jenazah bekas Pengerusi AirAsia, Datuk Pahamin Rajab akan dikebumikan esok di Tanah Perkuburan Islam Gardens of Peace, Five Oaks Lane, Chigwell yang terletak kira-kira 32 kilometer dari kota London, United Kingdom.
Menurut permakluman dikeluarkan keluarga Allahyarham, jenazah bekas Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan itu dijangka disemadikan di tanah perkuburan tersebut selepas waktu Zohor.
Katanya, jenazah sebelum itu akan dimandikan pada waktu pagi.
“Insya-Allah disolatkan dan akan dikebumikan seperti (anggaran paling awal) pada tarikh 12 Julai, Rabu. Jenazah akan dimandikan pada waktu pagi dan dijangka pengebumian dilaksanakan selepas Zohor.
“Sekiranya terdapat pertukaran masa, kami akan maklumkan kelak,” jelas kenyataan itu.
Keluarga Allahyarham kemudian memohon doa orang ramai agar segala urusan pengebumian dipermudahkan di samping agar dosa tokoh perniagaan itu diampunkan serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Kelmarin, menantu Pahamin, pelakon Azhar Sulaiman memaklumkan bahawa bapa mentuanya meninggal dunia akibat serangan jantung ketika dalam penerbangan ke London, awal pagi Ahad lalu.
Menurutnya, Pahamin, 77, pergi ke London untuk menghadiri hari graduasi anak lelakinya.
“Dukacita saya nak maklumkan bapa mentua saya Datuk Pahamin Rajab baru meninggal dunia.
“Dia baru sampai London kena serangan jantung dalam penerbangan dan sekarang ibu mentua dan anak lelaki saya ada kat London,” katanya. -UTUSAN