JBPM Negeri Sembilan kenal pasti dua 'hotspot' kejadian kepala air - Utusan Malaysia

JBPM Negeri Sembilan kenal pasti dua ‘hotspot’ kejadian kepala air

ANGGOTA bomba memantau keadaan di Taman Eko Rimba Jeram Toi, Jelebu yang merupakan salah satu hotspot berlakunya kejadian kepala air di Negeri Sembilan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Negeri Sembilan mengenal pasti dan mengambil langkah berjaga-jaga di dua lokasi kawasan rekreasi terkenal di negeri ini yang berisiko berlakunya kepala air.

Pengarahnya, Abdul Khair Osman berkata, dua lokasi berkenaan adalah kawasan Taman Eko Rimba Ulu Bendul di Kuala Pilah dan Taman Eko Rimba Jeram Toi di Jelebu. 

“Dua lokasi berkenaan amat popular dan sering dikunjungi orang ramai dari dalam dan luar negeri ini pada hujung minggu. 

“Setakat ini di Jeram Toi tiada kejadian kepala air yang meragut nyawa malah ia sudah tidak beroperasi ketika ini manakala di Ulu Bendul telah mengorbankan tiga mangsa pada tahun 2011,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya lagi, sebagai langkah persediaan, pihak bomba telah menjalankan rondaan berkala iaitu pada musim perayaan dan cuti umum di kawasan-kawasan berisiko tersebut.

“Pihak bomba juga telah bersedia dengan latihan penyelamatan arus deras kepada anggota penyelamat atau dikenali Swiff Water Rescue. Selain itu, turut diadakan kempen kesedaran berkenaan keselamatan di air kepada orang ramai.

“Bomba juga turut bekerjasama dengan rakan strategik iaitu pihak pengurusan kawasan rekreasi dan agensi yang terlibat bagi memudahkan urusan penyelamatan dilakukan sekiranya berlaku kejadian kepala air,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Abdul Khair turut menasihatkan orang ramai yang ingin menjalankan aktiviti perkhemahan agar sentiasa mendapatkan maklumat mengenai cuaca terkini. 

“Sekiranya cuaca mendung atau hujan elakkan berkunjung ke kawasan tersebut. Selain itu, orang ramai perlu mengelakkan mandi di kawasan yang jauh daripada pandangan orang ramai atau berada terlalu tinggi dan berdekatan air terjun,” katanya lagi.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya