KUALA LUMPUR: Bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Jasmine Loo Ai Swan ditahan polis Jumaat lalu selepas hadir menyerah diri di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bersama peguamnya pada 7 Julai lalu,
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, wanita berusia 49 tahun itu ditahan dan kini dalam tahanan reman mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
Katanya, pihak polis sedang menjalankan siasatan akan bekerjasama dengan agensi berkaitan terutama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya mereka memerlukan Jasmine sebagai saksi atau membuka siasatan.
“Kita tidak boleh mendedahkannya lebih lanjut kerana bahaya untuk dirinya sendiri (Jasmine) dan demi keselamatannya.
“Polis sebagai badan penguat kuasa menjaga keselamatan harta dan nyawa. Kita tahu apa bahaya dia akan hadapi nanti,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.
Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan Jasmine ditahan pihak polis.
Jasmine dikatakan salah seorang sekutu rapat ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low yang turut terbabit dalam skandal kewangan 1MDB dan disenaraikan sebagai orang dikehendaki.
Bloomberg sebelum ini melaporkan, penyiasat Switzerland yang menjalankan siasatan jenayah berhubung skandal 1MDB, memburu Casey dan Jasmine berkaitan pemindahan AS$700 juta yang didakwa dilakukan secara haram.
Pada 4 Disember 2018, Mahkamah Majistret mengeluarkan waran tangkap terhadap Jho Low, Jasmine, Casey, bekas pegawai 1MDB, Geh Choh Heng dan sekutu rapat Jho Low, Eric Tan Kim Loong.
Waran tangkap itu dikeluarkan selepas mereka gagal hadir di mahkamah bagi menghadapi tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan 1MDB.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Januari lalu membenarkan permohonan pihak pendakwaan melucut hak dua kenderaan dan wang tunai RM22,600 milik Jasmine.
Kedua-dua kenderaan itu masing-masing jenis Audi dan Volkswagen New Beetle disita pada 27 Januari 2021 manakala wang dalam akaun semasa Maybank Islamic miliknya disita pada 2 Februari 2021.-UTUSAN