PETALING JAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengingatkan kepada mana-mana pihak termasuk media agar tidak mensensasikan isu dakwaan rasuah sehingga tercetus kekecohan di balai ketibaan Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pada 29 Jun lalu.
Azam menegaskan kepada Utusan Malaysia, semua pihak diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi memandangkan siasatan membabitkan kes itu masih berjalan ketika ini.
Kata beliau, andaian mengatakan tiada kes rasuah adalah tidak sepatutnya dikeluarkan memandangkan kes masih lagi dalam siasatan
“Kita sedang dan masih lagi lakukan siasatan berhubung dakwaan ini.
“Siasatan kita bukan sahaja menumpukan pelakuan rasuah di pintu masuk negara tetapi juga akan melihat kepada prosedur operasi standard (SOP) kerja penguatkuasaan di Jabatan Imigresen dan agensi yang bertugas di KLIA dalam prosedur pemeriksaan dan pelepasan terhadap pelancong yang masuk ke negara ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tegas beliau, tidak munasabah sekiranya sebarang rumusan dibuat dalam masa yang singkat ini memandangkan siasatan masih dilakukan.
Terdahulu, laporan Utusan Malaysia hari ini mendedahkan, siasatan SPRM pada awalnya tidak menemukan sebarang elemen rasuah membabitkan penolakan dua wanita China ke negara ini sehingga menimbulkan kekecohan di balai ketibaan Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pada 29 Jun lalu.
Dalam pada itu, satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, siasatan awal mendapati, tiada sebarang pembayaran wang dibuat terhadap mana-mana individu selepas mereka tidak dibenarkan oleh imigresen memasuki negara ini.
Kata sumber itu, kekecohan yang berlaku berpunca daripada kekeliruan dan salah faham membabitkan dua pelancong itu dengan ‘orang tengah’ atau ‘ejen’ yang dihubungi sebaik mereka dikenakan tindakan Notis Penolakan Masuk (NTL) memasuki Malaysia.
Mereka yang terkandas dihubungi ejen menggunakan aplikasi WeChat bagi membantu menyelesaikan masalah mereka.
Semakan di aplikasi Wechat ada menyatakan amaun mengenai pembelian tiket pulang ke negara asal dan bayaran dikenakan oleh ejen.
Disebabkan masalah komunikasi antara kedua-dua pihak ini (dua wanita China dan ejen), menimbulkan salah faham kononnya berlaku rasuah di KLIA, bagaimanapun siasatan lanjut masih diteruskan berhubung perkara ini.
Sementara itu, Utusan Malaysia difahamkan, Jabatan Imigresen Malaysia boleh mengeluarkan notis NTL kepada mana-mana pelawat asing yang tidak memenuhi syarat kemasukan di negara ini.
Selepas notis NTL dikeluarkan, pelawat-pelawat berkenaan menjadi tanggungjawab kepada syarikat penerbangan yang mereka naiki untuk pulang semula ke negara asal masing-masing.
Difahamkan, pelawat asing yang dikenakan tindakan NTL akan ditempatkan di sebuah bilik yang mempunyai kelengkapan tempat duduk di lapangan terbang sebelum penghantaran pulang ke negara asal.
Disebabkan terlalu banyak syarikat penerbangan di KLIA, Jawatankuasa Pengendali Syarikat Penerbangan (AOC) mengambil inisiatif melantik sebuah syarikat swasta bagi menguruskan pelawat-pelawat NTL.
Syarikat swasta tersebut akan bertanggungjawab menguruskan kebajikan pelawat NTL seperti menyediakan makan dan minum sementara menunggu penerbangan pulang ke negara asal tetapi tidak termasuk menguruskan tiket pulang.
Atas inisiatif kakitangan syarikat yang menguruskan NTL, mereka akan menawarkan pembelian tiket pulang kepada pelawat-pelawat asing tersebut, namun, ia sering disalah erti dan mereka beranggapan imiresen yang mahu menerima wang rasuah.
Sebagai rekod, pelancong yang tiba ke negara ini diberikan NTL atas pelbagai sebab antaranya faktor ketulenan pasport, isu visa, rekod jenayah dan kebimbangan mengenai isu keselamatan.
Sebelum ini, penolakan kemasukan pelawat wanita dari China dikenali sebagai Wang Xu yang dilakukan mengikut prosedur serta selaras Arahan Tetap Ketua Pengarah Imigresen Bil. 09 Tahun 2017.
Subjek tidak memenuhi syarat kemasukan pelancong kerana tidak memiliki tiket pulang serta gagal menyatakan dengan jelas di mana penginapannya sepanjang berada di Malaysia.
Pada 5 Julai lalu, kedua-dua wanita warga China itu juga sudah pulang ke negara asal.
Kepulangan wanita berkenaan ke negara asal mereka telah dimaklumkan oleh pihak KLIA kepada SPRM.-UTUSAN