SABAK BERNAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan rakyat agar menjaga taraf dan kehormatan institusi diraja dengan tidak sama sekali mengheretnya ke dalam perbincangan dan perbahasan politik.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, negara ini mempunyai adab dan tatacara untuk menyatakan perbezaan pandangan seperti dilakukan beliau dengan menghadap Raja-Raja Melayu bagi menyatakan perkara sedemikian.
“Bukan kata orang Selangor, orang Pahang pun ada Raja, Kedah dan Kelantan pun ada Raja. Kita semua ada Agong, jangan samakan Raja-Raja dengan kita, Raja tak boleh bercakap kempen macam ini.
“Dia (institusi Raja) jaga tarafnya, sebab itu dikata ke bawah duli yang maha mulia. Jadi jangan heret Raja-Raja Melayu dalam perbincangan kita. Inilah padahnya.
“Kena faham kalau sistem Raja hendak dipertahan, inilah caranya. Saya kalau ada perbezaan pandangan saya pergi menghadap, ampun Tuanku patik rasa begini, begini, begini. Begitu caranya,” kata Anwar ketika berucap pada Program Sentuhan Kasih Desa, Mini Karnival Usahawan Desa dan Usahawan Orang Asli di sini semalam.
Beliau yang juga Menteri Kewangan turut menegaskan, tindakan terhadap Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor adalah disebabkan laporan polis dibuat oleh Dewan Diraja Selangor berhubung kenyataannya ketika berkempen di Selayang, dua minggu lalu.
“Kalau cerca dan singgung Raja, nasib kamulah. Jadi, siapa yang buat laporan, Dewan Diraja Selangor. Apa boleh ke Dewan Diraja Selangor tanpa perkenan Sultan Selangor, tidak. Dewan Diraja Selangor buat laporan polis kemudian Ketua Pas Selangor (Datuk Dr. Ahmad Yunus Hairi) pergi menghadap baginda minta ampun. Apa jawab Tuanku? Tuanku titah belum selesai.
“Esok, Ketua Polis Negara buat kenyataan, ditangkap dan didakwa, mana salah Perdana Menteri pula ini? Tak ada modal ke? Kamu pandai cakap, tanggunglah, hebat sangat,” jelas Perdana Menteri.
Selain itu, Anwar berkata, pembentukan kerajaan perpaduan adalah atas titah Yang di-Pertuan Agong yang memanggil ketua-ketua parti menghadap Baginda selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menurut beliau, pimpinan pembangkang perlu mengambil contoh situasi di Thailand ketika ini apabila kerajaan baharu belum dibentuk walaupun selepas dua bulan pilihan raya.
“Tengok Pita (Limjaroenrat), menang kerusi terbesar di Thailand dua bulan tak boleh tubuh kerajaan, terhoyong-hayang, terumbang-ambing kerana Raja tak berkenan, sebab apa? Pernah dia serang sistem beraja. Jadi akhirnya 29 Julai ini baru hendak putuskan,” kata Anwar. – UTUSAN










