Individu berpangkat Datuk didakwa tipu tawaran tender projek kerajaan - Utusan Malaysia

Individu berpangkat Datuk didakwa tipu tawaran tender projek kerajaan

NASARUDIN Mahmud (tengah) dibawa ke Mahkmah Sesyen Kuala Pilah hari ini bagi didakwa atas pertuduhan memperdayakan seorang lelaki berkenaan tawaran tender projek kerajaan bernilai RM8 juta pada bulan Oktober tahun lalu.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Seorang individu berpangkat Datuk didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah di sini hari ini atas tuduhan memperdayakan seorang lelaki lain berkenaan tawaran tender projek kerajaan bernilai RM8 juta pada bulan Oktober tahun lalu.

Tertuduh, Datuk Nasarudin Mahmud, 57, yang juga bekas setiausaha sulit kanan kepada bekas timbalan menteri, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Norma Ismail.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh telah menipu seorang lelaki supaya mempercayai telah membuat urusan suatu tawaran tender projek kerajaan dengan harga RM8 juta dan telah curangnya mendorong lelaki itu mempercayai akan menguruskan tender projek tersebut.

Lelaki itu telah memindahkan wang berjumlah RM382,000 ke dalam akaun tertuduh dan serahan wang tunai berjumlah RM67,000 yang mana lelaki itu tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu antara tarikh 6 Oktober 2022 sehingga 18 Oktober 2022 di sebuah pejabat di Mukim Tampin Tengah.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashim manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Eddin Syazlee Shith secara pro-bono dan Syed Amirul Syed Edros.

Timbalan Pendakwa Raya tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kesalahan di bawah seksyen berkenaan adalah tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, beliau mencadangkan sekiranya jaminan diberikan jumlah jaminan perlu mengambil kira faktor kerugian berjumlah RM449,000.

Eddin Syazlee memohon mahkamah untuk mempertimbangkan beberapa keadaan antaranya kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan walaupun tidak boleh dijamin namun penipuan adalah dalam kategori paling rendah.

“Tertuduh melalui proses sukar iaitu baru keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) berpindah ke hospital kerajaan menghadapi kesulitan membayar bil di IJN. Beliau mempunyai masalah jantung kritikal yang memerlukan urusan segera menjalankan pembedahan.

“Tertuduh juga mempunyai penyakit buat pinggang tahap empat. Keadaan-keadaan ini menyebabkan beliau (tertuduh) memerlukan kebenaran jamin untuk mendapatkan rawatan susulan untuk beliau buat persiapan. 

“Untuk rekod saya menawarkan diri secara pro-bono tanpa bayar,” katanya.

Syed Amirul pula dalam rayuannya menyatakan tertuduh juga memberikan kerjasama yang baik kepada polis apabila diarahkan polis bagi menyerahkan diri semalam dan tidak wujud keadaan risiko melarikan diri.

“Tertuduh mengalami kesukaran kewangan dan mohon jaminan paling minimum,” katanya.-UTUSAN.

 

Mahkamah kemudiannya menetapkan 4 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan membenarkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN