Hutang Felda: Anwar, kita jumpa di mahkamah - Muhyiddin

Hutang Felda: Anwar, kita jumpa di mahkamah – Muhyiddin

MUHYIDDIN Yassin (dua kanan) bersama Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob melambai tangan semasa menaiki kenderaan untuk ke Program Munajat Rakyat Kelantan Pakat Pertahan dan Amanat Pimpinan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan-UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin sedia ke mahkamah untuk berdepan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu pelupusan hutang peneroka Felda.

Muhyiddin berkata, tindakan itu dibuat kerana beliau tidak bersalah berkait perkara tersebut.

Menurutnya, malah beliau sama sekali tidak takut dengan tindakan Ahli Parlimen Tambun itu yang menyamannya sebanyak RM200 juta.

“Semasa kita mentadbir kerajaan, Felda mengalami masalah termasuk terdapat pengurusan tidak cekap, pendapatan merosot sehingga hutang gagal dibayar membabitkan RM12 bilion. Ketika itu kami mengambil keputusan membantu peneroka Felda pada 2021 dengan menghapuskan hutang sebanyak RM8.3 bilion. 

“Namun Perdana Menteri kata saya cakap bohong, sedangkan saya tidak pernah bohong kerana saya ada bukti. Saya kata Anwar, itu bon, yang ini penghapusan hutang, ia tidak sama,” katanya ketika berucap di Program Munajat Rakyat Kelantan Pakat Pertahan dan Amanat Pimpinan di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, malam tadi.

Bekas Perdana Menteri Kelapan itu memberitahu, Anwar tidak faham untuk membezakan antara penghapusan hutang dan sukuk.

Media sebelum ini melaporkan, Anwar menuntut Muhyiddin meminta maaf dan membayar pampasan RM200 juta kerana menjejaskan reputasi beliau berhubung dakwaan fitnah membabitkan isu pelupusan hutang peneroka Felda.

Melalui jawapan terhadap surat tuntutan Muhyiddin menerusi firma guamannya SN Nair & Partners, menyatakan Anwar akan memulakan tindakan undang-undang terhadap bekas perdana menteri itu jika tidak menerima apa-apa maklum balas yang memuaskan dalam tempoh 24 jam daripada tarikh surat jawapan berkenaan.

Surat jawapan terbabit dialamatkan kepada firma guaman, Tetuan Rosli Dahlan Saravana Partnership yang mewakili Muhyiddin.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN