Harga ayam turun RM2 hingga RM3 sekilogram

Harga ayam turun RM2 hingga RM3 sekilogram

SHUHAIRI Othman memotong ayam yang ditempah pelanggan di kedainya di Kampung Bukit Tok Beng, Seberang Takir, Kuala Nerus, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Harga ayam segar di beberapa kedai di daerah ini dan Kuala Terengganu menyusut  di antara RM2 sehingga RM3 sekilogram sejak minggu lalu.

Seorang peniaga, Ahmad Fahimi Razlan, 41, berkata, harga ayam segar yang dijualnya hari ini adalah RM9 sekilogram berbanding sekitar RM12 atau RM12.50 sebelum ini.

“Sebenarnya saya sendiri tidak pasti punca penurunan itu berlaku, mungkin faktor lambakan bekalan ayam segar ketika ini mendorong kejatuhan harga bahan mentah itu.

“Namun, saiz ayam yang diperoleh daripada pembekal agak kecil iaitu tidak sampai 1.5 kilogram seekor berbanding kebiasaan,” katanya ketika ditemui di Kampung Manir, di sini, hari ini.

Seorang peniaga, Shuhairi Othman, 40, dari Kampung Bukit Tok Beng, berkata, penurunan harga ayam merunsingkannya apabila hasil jualan berkurang lebih 50 peratus.

Menurut Shuhairi, harga ayam yang rendah belum mampu menarik minat pengguna yang dipercayai ‘bertukar selera’ kepada ikan yang turut menunjukkan penurunan harga ketika ini.

“Pengusaha kedai makan pun sudah tidak membeli ayam dengan banyak, jadi sekarang nak jual 100 ekor ayam sehari pun susah. Biasanya mereka pembeli utama dengan lebih 50 ekor sehari.

“Selain itu saya akan buat jualan luar, tapi hanya 10 ekor yang laku. Sambutan memang ‘dingin’ dan saya percaya ianya disebabkan harga ikan juga tengah murah.

“Dijangka harga ayam segar akan terus berada pada paras rendah dalam masa terdekat dan saya harap ianya dapat menarik semula sambutan pengguna,” tambah Shuhairi.

Swmwntara itu, penjawat awam, Nur Fadila Mukhtar, 34, beekata, penurunan harga bahan mentah ketika ini memberi kelegaan dan lebih banyak pilihan kepadanya sebagai pengguna.

“Pengguna juga mempunyai lebih kuasa membeli dan saya dapati memang ada pengurangan harga ayam segar sejak beberapa minggu lalu. Kebetulan harga bahan mentah lain juga turun.

“Jadi kita ada pilihan untuk kegunaan isi rumah terutama bagi keluarga yang ramai, mereka biasanya akan bertukar pemilihan menu berasaskan ayam atau ikan,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya