KUALA LUMPUR: Tiga lelaki ditahan kelmarin dipercayai terlibat dengan kegiatan samun di sekitar Lembah Klang.
Kesemua suspek berusia 19 hingga 21 tahun ditahan sebuah pangsapuri di Kepong di sini oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sentul melalui Op Sentap bagi membanteras kegiatan ragut.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian ragut membabitkan seorang warga emas berusia 74 tahun, di sekitar Kepong, 28 Jun lalu.
Beliau berkata, modus operandi sindiket didalangi lelaki dengan nama panggilan Indren dengan meragut di kawasan terbuka tepi jalan.
“Kumpulan ini menyasarkan penunggang dan pembonceng motosikal warga emas yang menggalas beg atau meletakkan beg di dalam bakul motosikal.
“Setelah mengenal pasti sasaran, suspek bertindak menunggang secara rapat dengan motosikal yang ditunggangi oleh mangsa manakala suspek yang membonceng motosikal akan menarik beg mangsa,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah Sentul, di sini, hari ini.
Menurutnya, wang hasil samun akan dibahagikan sesama mereka untuk perbelanjaan harian serta membeli dadah.
Jelasnya, pihak polis turut merampas sebuah motosikal jenis Honda RS-X FS150 warna merah dan pakaian suspek ketika kejadian.
“Kesemua suspek positif dadah dan semakan mendapati dua daripada mereka mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau,” katanya.
Tambahnya, kesemua suspek direman untuk membantu siasatan lanjut di siasat di bawah seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.-UTUSAN










