BATU PAHAT: Penduduk Kampung Berong Laut di Rengit, dekat sini bimbang ekoran gangguan kumpulan monyet yang semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini.
Mereka mendakwa binatang liar tersebut bukan sahaja merosakkan tanaman, malah turut berani masuk ke dalam rumah untuk menggeledah dan membawa lari makanan yang diletakkan di atas meja atau dalam almari.
Pengerusi Pertubuhan Skuad Peduli Rakyat Batu Pahat, Malik Faishal Ahmad berkata, tanaman seperti pisang dan sayur-sayuran yang diusahakan juga ‘dipetik’ oleh kumpulan monyet tersebut sehingga tidak sempat dituai hasilnya.
“Begitu juga dengan tanaman buah-buahan seperti rambutan, durian dan manggis, semuanya tidak sempat dijamah kerana dipetik atau digugurkan oleh kumpulan monyet berkenaan ketika buah masih muda.
“Binatang ini juga sering dilihat berlegar-legar di jalan utama kampung dan boleh mengancam keselamatan penduduk yang menunggang motosikal termasuk pelajar yang berbasikal ke sekolah.
“Apabila hasil tanaman tidak dapat dituai, secara tidak langsung menyebabkan penduduk yang bercucuk tanam mengalami kerugian seterusnya kehilangan punca pendapatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau turut memberitahu, sebelum ini seorang penduduk menerima 10 jahitan pada tangannya akibat diserang monyet ketika menghalau binatang itu yang masuk ke dalam rumahnya.
Malik berkata, isu itu sudah beberapa kali dibangkitkan termasuk meminta pihak yang berkaitan memasang lima atau enam jerat sangkar di setiap mukim dan sebelum memindahkan kumpulan monyet tersebut ke kawasan lain.
Justeru, beliau berharap pihak yang berkaitan segera membantu menangani masalah berkenaan demi keselamatan dan keselesaan penduduk.-UTUSAN