KOTA TINGGI: Empat lelaki warga asing disyaki terlibat dalam aktiviti mencuri besi buruk di kawasan perairan negara berjaya dicekup malam semalam.
Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia Negeri Johor, Kapten Maritim Simon Templer Lo Tusa berkata, Zon Maritim Tanjung Sedili menerima maklumat daripada Sistem Pengawasan Maritim (Laut) SWASLA yang mengesan sebuah bot bergerak dalam keadaan mencurigakan daripada perairan Indonesia cuba menghampiri sebuah bot tunda pada pukul 10.20 malam.
Katanya, hasil maklumat berkenaan, bot ronda Maritim Malaysia segera diatur gerak ke lokasi dan berjaya menahan sebuah bot dengan empat lelaki sedang memunggah besi buruk dari tongkang yang ditunda bot Jin Hwa 49 di kedudukan 2.5 batu nautika barat daya Tanjung Ayam.
“Empat lelaki tersebut disyaki warga Indonesia berumur antara 19 hingga 39 tahun. Siasatan awal mendapati mereka disyaki ahli sindiket yang menyasarkan besi buruk untuk dicuri di kawasan perairan.
“Modus operandi mereka adalah melakukan kegiatan itu berhampiran sempadan negara agar mudah meloloskan diri. Kesemua suspek dan bot telah dibawa ke Pos Maritim Pengerang untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Tanjung Sedili, di sini hari ini.
Kesemua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Tindakan beberapa pemilik bot tidak melaporkan kejadian kecurian kepada pihak berkuasa juga telah memberi kesempatan kepada sindiket berkenaan untuk terus melakukan jenayah itu.
Katanya, berdasarkan statistik oleh Maritim Malaysia untuk lima tahun, iaitu bermula 2018
hingga 2022, sebanyak tujuh kejadian serupa dilaporkan dan telah ditangani oleh pihaknya.
“Susulan tangkapan ini pihak Maritim Malaysia akan mempertingkatkan lagi operasi dan akan bekerjasama dengan pihak berkuasa negara jiran dalam usaha mengekang aktiviti jenayah di laut, khususnya di kawasan sempadan perairan negara. – UTUSAN