PETALING JAYA: Keputusan dasar mengenai penyelarasan ekosistem keselamatan siber negara akan dibincangkan dan dimuktamadkan dalam mesyuarat Kabinet pada 19 Julai 2023, minggu hadapan.
Perkara itu diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof susulan daripada Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bulan lalu.
Katanya, ia adalah sebahagian usaha kerajaan mengukuhkan lagi sistem keselamatan siber negara.
“Saya ingin tegas mengatakan bahawa Kerajaan Perpaduan tidak akan berkompromi dengan isu keselamatan siber dan tidak akan membiarkan mahupun melengah-lengahkannya.
“Ini menunjukkan kesungguhan dan komitmen tegas Kerajaan Perpaduan dalam menangani cabaran keselamatan siber,” katanya ketika merasmikan Pameran dan Persidangan Pertahanan dan Keselamatan Siber (CYDES) 2023 hari ini.
Dalam mesyuarat tersebut, katanya, kerajaan membuat beberapa keputusan penting yang akan membentuk masa depan ekosistem keselamatan siber negara.
Antaranya, kerajaan sebulat suara menyokong Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) sebagai agensi pusat keselamatan siber utama yang akan melaporkan terus kepada Perdana Menteri.
Katanya, kerajaan turut bersetuju penggubalan Rang Undang-undang Keselamatan Siber perlu disegerakan bagi memberikan NACSA kuasa undang-undang yang jelas untuk mengawal selia dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan keselamatan siber.
Selain itu, katanya, CyberSecurity Malaysia akan diletakkan di bawah NACSA bagi mengelakkan pertindihan tugas dengan mana-mana agensi lain.
Bagaimanapun, katanya, untuk membentuk masa depan digital yang selamat, adalah penting untuk mengutamakan keselamatan siber.
“Adalah penting untuk memupuk budaya keselamatan siber di seluruh negara, mewujudkan dan mengekalkan sistem, aplikasi dan infrastruktur yang selamat serta mengenal pasti potensi ancaman.
“Kita juga perlu menyedari bahawa langkah perlindungan perlu diseimbangkan dengan kemudahan penggunaan. Selain itu, langkah pemantauan dan pengesanan adalah penting, privasi perlu dipelihara,” katanya.
Pada masa sama, katanya, beliau menyifatkan tiada dasar keselamatan siber negara boleh digubal dan dilaksanakan dengan jayanya tanpa pendekatan kolaboratif antara pelbagai pihak kerajaan, industri, ahli akademik dan masyarakat sivil.
“Pendekatan kolaboratif bukan sahaja menggalakkan perkongsian maklumat dan pengetahuan; ia mungkin menyediakan elemen paling penting yang diperlukan dalam persekitaran siber iaitu elemen kepercayaan.
“Ini juga sebab mengapa kita menganjurkan CYDES 2023, untuk melibatkan diri dan membina kepercayaan,” katanya.-UTUSAN