DUN Lenggeng: Amanah akur apa juga keputusan - Utusan Malaysia

DUN Lenggeng: Amanah akur apa juga keputusan

MOHAMAD Sabu
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Parti Amanah Negara (Amanah) akur dengan apa juga keputusan kepemimpinan tertinggi Kerajaan Perpaduan berhubung isu calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.

Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, keputusan akhir adalah daripada Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Setakat ini (Amanah), masih lagi mempertahankan kerusi DUN Lenggeng, selalunya memanglah (nama calon) boleh diumum (awal), tetapi final (keputusan akhir) oleh dua Pengerusi PH dan BN, Anwar dan Ahmad Zahid.

“Kita akan ikut keputusan itu, memang sewajarnya kerusi DUN Lenggeng kekal ditandingi Amanah yang menang (pada Pilihan Raya Umum Ke-14),” katanya pada sidang akhbar sempena Program Santai Peladang Bersama Pemimpin Peladang dari Zon Tengah di sini hari ini.

Mohamad sekali lagi menegaskan, keputusan Anwar dan Ahmad Zahid adalah muktamad dan jika diumumkan Amanah tidak bertanding di kerusi DUN Lenggeng beliau akur dan patuh.

Amanah Negeri Sembilan kelmarin dalam sidang akhbar tetap dengan pendirian mahukan kerusi DUN Lenggeng kekal ditandingi calon dari parti itu.

Pengerusinya, Datuk MK Ibrahim Abd. Rahman berkata, keputusan itu selari dengan Mesyuarat Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah pada 13 Julai lalu yang mengumumkan kerusi DUN Lenggeng yang telah dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kekal ditandingi parti itu selain dua DUN lain iaitu Paroi dan Klawang.

Baru-baru ini, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan memaklumkan bahawa parti itu akan bertanding di 16 kerusi DUN yang dimenanginya di Negeri Sembilan pada PRU14 serta satu kerusi tambahan iaitu DUN Lenggeng.

Difahamkan malahan BN juga telah menamakan calon mereka untuk bertanding di kerusi berkenaan. BN dijadual mengumumkan calon mereka untuk PRN pada malam ini di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di ibu negara.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN