Dua pekerja berang, bakar lori curi buah sawit - Utusan Malaysia

Dua pekerja berang, bakar lori curi buah sawit

SEBUAH lori yang digunakan oleh empat lelaki untuk mencuri buah kelapa sawit di sebuah ladang di Simpang Renggam dibakar oleh dua pekerja yang berang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Berang selepas mengetahui buah kelapa sawit di ladang tempat mereka bekerja dicuri, sebuah lori yang penuh dengan muatannya dibakar oleh dua pekerja di Jalan Parit 5, Sungai Linau, Simpang Renggam, dekat sini semalam. 

Namun, tindakan itu membawa padah apabila.dua lelaki berusia 40 dan 50 tahun itu ditahan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api. 

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, kejadian kecurian buah kelapa sawit itu disedari pada pukul 8.30 pagi apabila penyelia ladang  menemukan kesan buah sawit sudah dipotong.

Dia kemudian memaklumkan kejadian tersebut kepada anggota polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang pada pukul 11 pagi.

“Bertindak atas maklumat sepasukan anggota dari Balai Polis Simpang Renggam telah membuat rondaan dan ternampak empat lelaki sedang memunggah buah kelapa sawit dari lori yang terbakar di ladang itu.

“Menyedari kehadiran pihak polis, mereka melarikan diri namun seorang berjaya ditangkap dan hasil soal siasat  ke atas suspek, pihak polis kemudian berjaya menahan baki tiga suspek berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini. 

Bahrin berkata demikian diminta mengulas kejadian sebuah lori yang terbakar di sebuah ladang sawit di Simpang Renggam, semalam. 

Menuurutnya, kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an itu mengaku mencuri buah kelapa sawit dari ladang PPSB Simpang Renggam itu dan semakan ke atas lori berkenaan mendapati milik syarikat swasta yang didaftarkan di Johor Bahru.

Tiga daripada kesemua suspek yang bekerja sebagai buruh mempunyai 21 rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah dan ujian air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah jenis methamphetamine.

Kesemua enam tahanan termasuk dua pekerja tersebut direman empat hari hingga 16 Julai ini.

Dua pekerja tersebut disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan, manakala empat suspek disiasat mengikut Seksyen 379 kanun yang sama kerana mencuri buah kelapa sawit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN