SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berdepan saingan tiga calon lain bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 kali ini.
Beliau yang merupakan wakil rakyat kawasan berkenaan sejak 2008 dicabar oleh Ahmad Raihan Muhamad Hilal dari Perikatan Nasional (PN) serta dua calon Bebas iaitu Bujang Abu dan Mohammed Hafiz Baharudin.
DUN Sikamat merupakan salah satu daripada dua kerusi DUN di negeri ini yang menyaksikan pertembungan empat penjuru selain DUN Nilai.
Terdapat sebanyak 36 kerusi DUN di seluruh Negeri Sembilan melibatkan seramai 864,525 pengundi mendaftar.
Sementara itu terdapat tujuh kerusi DUN yang menyaksikan berlakunya pertembungan tiga penjuru.
Tiga kerusi tersebut adalah Klawang, Lenggeng, Temiang, Ampangan, Bukit Kepayang, Mambau dan Paroi.
Kerusi DUN Ampangan paling mencuri tumpuan apabila penyandangnya yang tidak dicalonkan semula oleh PKR iaitu, Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab. Malek memilih bertanding sebagai calon Bebas.
Bekas Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri itu mencabar dua calon lain calon Pakatan Harapan (PH) iaitu Ketua Wanita PKR Cabang Seremban, Tengku Zamrah Tengku Sulaiman dan calon PN yang merupakan Ketua Bersatu Cawangan Gedong Lalang, Muhammad Ghazali Zainal Abidin.
Beliau merupakan seorang daripada 10 calon Bebas yang akan bertanding di lapan kerusi DUN di negeri ini Klawang, Lenggeng, Nilai, Sikamat, Ampangan, Bukit Kepayang, Mambau dan Paroi.
Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) pula mencuba nasib di satu kerusi iaitu DUN Temiang menerusi calonnya, Ahmad Qusyairi Abdull Rahim
Sementara itu, baki kerusi lain menyaksikan saingan satu lawan satu termasuk melibatkan nama-nama besar di negeri ini.
Timbalan Pengerusi BN dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad berdepan calon PN yang juga Timbalan Yang Dipertua Pas Rembau, Rozmal Malakan di DUN Rantau iaitu kawasan yang telah dimenangi Mohamad sejak tahun 2004.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook pula akan cuba mempertahankan kerusi DUN Chennah sambil dicabar oleh ketua kampung, Kampung Chennah, Rosmadi Arif yang merupakan calon PN.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan yang juga Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias pula bertanding di DUN Pertang yang turut ditandingi oleh calon PN Amirudin Hassan.
Sementara itu, kerusi DUN Juasseh juga dilihat antara kerusi yang akan berlaku saingan sengit dalam PRN ini.
Ia menemukan calon BN yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kuala Pilah, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd. Khalid dan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kuala Pilah, Datuk Eddin Syazlee Shith yang mewakili PN.
Hari pengundian bagi PRN Ke-15 yang berlangsung di enam buah negeri akan diadakan pada 12 Ogos depan.-UTUSAN.