SEREMBAN: DAP Negeri Sembilan menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan apabila gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan hadapan.
Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke Siew Fook berkata, sokongan adalah berdasar komitmen yang telah diberikan oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan itu sepanjang lima tahun mentadbir negeri.
“Pada malam ini, bagi pihak DAP mengisytiharkan bahawa DAP akan tetap mendukung Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
“Ini sokongan dan komitmen kepada beliau, kami sokong dia sebagai Menteri Besar bukan sebab nama dia Aminudin tetapi kerana telah buktikan beliau sebagai seorang MB yang taat kepada perjuangan, kasih kepada rakyat prihatin kepada negeri.
“Beliau buktikan beliau adalah seorang yang adil kepada rakyat tanpa mengira kaum dan agama. Datuk Seri (Aminuddin) malam ini saya katakan saya tabik, saya hormat beliau kekal jadi Menteri Besar,” katanya.
Siew Fook yang juga Setiausaha Agung DAP berkata demikian sewaktu berucap pada Majlis Makan Malam Persediaan PRN DAP Negeri Sembilan di Taman Labu Utama di sini malam ini.
Sementera itu, Aminuddin yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Keadilan Negeri Sembilan menghargai dan berterima kasih atas pendirian dan sokongan yang telah diberikan DAP kepada beliau.
“Saya ucapkan terima kasih atas pendirian DAP yang tidak berubah, perkara ini akan kita bawa kepada pucuk kepemimpinan untuk menentukan. Walaupun cadangan daripada DAP namun, masih kuasa Perdana Menteri untuk menentukan Menteri Besar di Negeri Sembilan,” katanya lagi.-UTUSAN.