PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merekodkan keterangan seramai 31 individu berhubung dakwaan terdapat elemen rasuah dalam kalangan pegawai dan anggota imigresen di pintu masuk negara.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki berkata, keterangan yang direkodkan termasuk tiga orang saksi bagi membantu siasatan.
“SPRM masih mengesan individu yang dikatakan bertindak sebagai ejen kepada wanita warga China yang cuba memasuki Malaysia menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bulan lalu.
“Setakat ini kita masih belum dapat menemuinya,” katanya hari ini.
Ahad lalu, Azam Baki dilaporkan berkata, berdasarkan siasatan awal yang dijalankan individu yang dilaporkan menerima bayaran sebanyak RM18,000 untuk membawa masuk wanita warga China menerusi KLIA adalah lelaki bukan warganegara Malaysia.
“Kita sudah mempunyai butiran mengenainya namun kita belum dapat mengesan kedudukannya pada masa ini,” katanya.
Kekecohan di KLIA tular apabila seorang menteri didakwa menceroboh masuk ke balai ketibaan KLIA bagi melepaskan seorang pelawat China yang ditahan Jabatan Imigresen.
Susulan itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing mengakui dirinya adalah menteri yang dikaitkan dengan kejadian itu dan mendakwa kehadirannya bagi membongkar kewujudan budaya rasuah dilakukan segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa kronik di pintu masuk negara.-UTUSAN










