KUCHING: Cadangan permohonan kerajaan Sarawak meletakkan perdagangan karbon di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Perubahan Iklim (MyCAC).
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, mesyuarat MyCAC tersebut akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Sebelum ini pun kami telah pun mengadakan siri perbincangan dengan pihak negeri Sarawak dan di peringkat NRECC, kita akan membentangkan tentang kerangka dasar karbon negara ini di dalam mesyuarat MyCAC yang mana akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri pada minggu ini dan dihadiri oleh menteri besar dan ketua menteri.
“Kita juga faham bukan hanya negeri Sarawak, negeri lain juga melontarkan soal karbon dan turut serta dalam hal ini. Justeru, fungsi penting di peringkat Persekutuan ini adalah menjadi pemudah cara untuk kita sediakan dasar tersebut dan kita akan menyediakan dasar tersebut pada tahun ini,” katanya dalam satu sidang akhbar di Wisma Bapa Malaysia, di sini hari ini.
Nik Nazmi turut meyakinkan bahawa persiapan perdagangan karbon negeri Sarawak sendiri sudah ke depan dan perbincangan bersama kerajaan negeri itu turut dijalankan secara aktif.
Dalam perkembangan yang sama, beliau tidak menafikan kemungkinan keperluan untuk memperuntukkan Rang Undang-Undang (RUU) tertentu bagi industri perdagangan karbon.
“Buat masa ini, rang undang-undang tidak ada diperuntukkan, dia di peringkat polisi, peringkat dasar, sebab yang kita tahu yang sedang berjalan iaitu pasaran karbon sukarela yang mana kita ada dalam Bursa Malaysia di bawah Bursa Carbon Exchange (BCX).
“Tetapi ada beberapa penambahbaikan dan sebagainya yang sedang kita bincangkan, yang ini kita tengok hasil daripada perbincangan nanti agar beberapa keperluan dibuat dari segi perundangannya, mahupun di peringkat pentadbiran atau di peringkat polisi, itu kita perlu tengok hasil mesyuarat nanti.
“Pada masa yang sama kita juga adakan perbincangan menyeluruh dengan kerajaan negeri kerana mereka memainkan peranan penting, terutamanya tanah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, sebab itu di peringkat NRECC, kita adakan libat urus dengan kerajaan negeri secara berterusan,” ujarnya.
Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, buat masa ini, segala isu berkaitan dengan karbon berada di bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.
Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, usaha meletakkan perniagaan karbon di bawah KPK juga dijangka mengambil sedikit masa kerana melibatkan perubahan kementerian.
Terdahulu, Nik Nazmi mengadakan lawatan kerjanya ke Wisma Bapa Malaysia bagi menghadiri Majlis penyerahan lapan projek Rancangan Memulihkan Koridor Sungai (RMKS) yang disiapkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kepada Kerajaan Negeri Sarawak.
Jelasnya, pelaksanaan lapan (8) projek berkenaan berjumlah RM63 juta melibatkan koridor-koridor sungai Batang Kayan, Batang Balingian, Batang Sadong di Pekan Gedong & Serian, Batang Sadong di Simunjan, Retaining Wall Sungai Baram, Rumah Naing, Pekan Sabtu Oya dan Betong.
“Ia melibatkan kerja-kerja pengukuhan tebing-tebing sungai supaya hakisan dapat dibendung serta memastikan aliran air sungai lancar di samping perlindungan harta benda dan struktur-struktur awam di sepanjang tebing sungai berkenaan.
“Projek ini juga memberi nilai tambah dengan pembangunan kawasan riadah penduduk setempat serta membawa manfaat kepada hampir 195,000 orang penduduk setempat.
“NRECC akan terus bekerjasama dengan kerajaan Sarawak dalam memastikan projek-projek pemulihan koridor sungai dapat diteruskan lagi bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat serta dapat memberi peningkatan hidup dan pertumbuhan ekonomi kepada negeri ini selari dengan konsep Malaysia Madani,” kata beliau. -UTUSAN