BN yakin kekal penguasaan tiga DUN Gua Musang

BN yakin kekal penguasaan tiga DUN Gua Musang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah
PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU) lalu menyaksikan Barisan Nasional (BN) gagal mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang, Kelantan selepas penyandangnya selama 11 penggal, Tengku Razaleigh Hamzah tewas kepada calon Pas, Mohd. Azizi Abu Naim dengan majoriti 163 undi.

Sungguhpun kalah tipis, Pas menyifatkan kemenangan itu menjadi moral buat mereka dalam usaha merampas tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Paloh, Galas dan Nenggiri pada pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Namun bagi BN, mereka tetap optimis mampu mengekalkan ketiga-tiga DUN tersebut.

Utusan: Pada PRU15 Pas menang di Gua Musang, bagaimana peluang BN pertahan DUN Paloh, Galas dan Nenggiri?

Mengikut maklumat kami (BN Gua Musang) untuk ketiga-tiga DUN di Gua Musang iaitu Paloh, Galas dan Nenggiri akan ditan­dingi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk PRN kali ini. Kita tahu Bersatu akan guna logo Pas dan tidak guna lambang Perikatan Nasional (PN). Berdasarkan track record, kita yakin ketiga-tiga kerusi itu BN dapat pertahankan.

Orang Asli terus menjadi ‘deposit’ BN di Gua Musang. Apakah PRN kali ini situasi mungkin berbeza?

Pengundi Orang Asli ada lebih 10,000 orang. Hampir 8,000 di Galas, Nenggiri (2,000) dan Paloh (200). Setakat ini mereka terus memberikan sokongan kepada BN dan Orang Asli tahu sumbangan dan gerak kerja kami (BN).
Pemimpin Orang Asli menjadikan BN sebagai tempat untuk mengadu dan mendapat bantuan bagi membela nasib mereka.

Calon PN yakin mampu rampas tiga kerusi itu, adakah ini tekanan buat BN?

Ini bukan kali pertama kita menerima tekanan. Siapa sahaja boleh cita-cita untuk ‘merampas’ dan dalam PRN semua peluang adalah sama rata.
Kita, UMNO menyerahkan kepada rakyat dan pengundi untuk buat keputusan. Apa yang pen­ting kita akan terus berusaha bersungguh-sungguh untuk menang dan berbekalkan rekod yang telah ditunjukkan selepas mendapat mandat sebelum ini.

Pas mendakwa orang muda bersama mereka berpandukan keputusan PRU15?

Dakwaan itu tidak tepat, PRN dan PRU adalah dua perkara yang berbeza. Pemikiran golo­ngan muda informatif dan mereka akan melihat secara menyeluruh apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri menepati cita rasa anak muda atau tidak.
Setiap kali PRU atau PRN, Pas sering mendendangkan naratif lama sebagai contoh anak tiri, peruntukan disekat dan lain-lain. Pada saya golongan sudah bijak untuk membuat keputusan.

BN sudah sinonim di Gua Musang, adakah mood itu masih kekal?

Kita anggap setiap pertarungan itu penting dan mood terhadap BN perlu ditafsirkan dengan gerak kerja sebagaimana telah ditunjukkan sebelum ini. Lihat sahaja prestasi wakil rakyat di ketiga-tiga DUN setiap kali sidang DUN berlangsung apabila mereka aktif membangkitkan isu-isu di kawasan masing-masing. Begitu juga dengan gerak kerja di lapangan dan semua itu boleh dilihat serta dinilai oleh rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN