SEREMBAN: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mempersoalkan kenyataan Datuk Seri Anwar yang mahu menyemak semula skim gaji perkhidmatan awam negara.
Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu menjelaskan, perkara tersebut sukar dilaksanakan kerana ketika ini kerajaan sedang menanggung hutang yang besar.
“Kononnya mahu naik gaji pegawai kerajaan, mahu naik bagaimana, duit pun tiada, bayar hutang sahaja berbilion setahun, macam mana mahu naik gaji?” katanya sewaktu berucap pada program Jelajah Bicara Bangsa di Sikamat di sini malam ini.
Perdana Menteri sebelum ini memberitahu, skim gaji perkhidmatan awam akan disemak semula bagi memastikan penjawat awam menerima gaji dan upah yang setimpal dengan kerja keras mereka.
Anwar menambah, penelitian semula skim gaji perkhidmatan awam itu dibuat selepas mempertimbangkan tiada kenaikan diberikan bagi suatu tempoh agak lama.
Dr. Mahathir turut mempersoalkan kenyataan Anwar yang mahu gaji lulusan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dinaikkan serta pengumuman pemberian elaun perantisan minimum.
“Syarikat mempunyai budget tertentu, tidak sewenangnya naik gaji pegawai dan kakitangan mereka, ini akan menyebabkan perniagaan mereka akan jadi rugi,” kata beliau.-UTUSAN.