‘Annuar jangan sesuka hati hukum haram, ingat jasa BN’ - Utusan Malaysia

‘Annuar jangan sesuka hati hukum haram, ingat jasa BN’

MUHAMAD AKMAL SALEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa diingatkan supaya tidak sesuka hati menjatuhkan hukum haram sebaliknya diingatkan jangan lupa jasa BN terhadap beliau.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, perkataan haram bukan perkara boleh diambil ringan meskipun niatnya bukan berlandaskan hukum agama, kerana dikhuatiri mengundang fitnah dan mencemar imej Islam itu sendiri.

“Jangan melebihi hukum Allah SWT bila bercakap soal halal dan haram. Saya percaya beliau lebih arif tentang hal ini. Rakyat Malaysia pula berhak mahu undi siapa, jadi jangan sampai jatuhkan hukum.

“Adakah sejak beliau menyertai Pas, fikiran beliau sudah ke arah lebih ekstremis? Berpolitiklah secara progresif, kita boleh berbeza pandangan tetapi biarlah menguntungkan rakyat.

“Kita masih saudara sesama Islam. Parti ini (BN) jugalah yang mengangkat beliau daripada tiada apa-apa, sehingga apa yang beliau kecapi sekarang. Hargailah sumbangan parti,” kata Ahli Dewan Unda­ngan Negeri (ADUN) Merlimau itu ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, Naib Pen­gerusi Kebangsaan DAP, Teresa Kok Suh Sim berkata, Annuar tidak mempunyai asas kukuh untuk meminta rakyat ‘mengharamkan’ tangan untuk mengundi calon BN dan PH.

Ahli Parlimen Seputeh itu berkata, sebaliknya rakyat wajar menolak Annuar kerana beliau tidak mempunyai rekod pencapaian dibanggakan semasa menjadi Menteri Wilayah Persekutuan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

MENTERI

“Annuar kena tanya diri sendiri, apa yang beliau lakukan semasa menjadi menteri dahulu? Saya sebagai ahli Parlimen, boleh kata beliau tidak pernah memanggil kami yang wakil rakyat ini bermesyuarat bersama berbanding menteri wilayah terdahulu.

“Beliau bukan pemimpin yang selalu turun padang meninjau apa yang berlaku dalam kawasan dan hanya bertindak ikut suka hati sahaja.

“Rakyat Malaysia bukan bodoh, tetapi tahu menilai siapa yang buat kerja dan berprestasi cemerlang. Sebab itu saya tegaskan, beliau tidak wajar keluarkan kenyataan seperti ini,” katanya ketika dihubungi.

Kelmarin, Annuar dalam program munajat rakyat Kelantan dan amanat pimpinan di Kota Bharu, dilaporkan menyeru supaya rakyat khususnya di Kelantan ‘mengharamkan tangan’ mengundi calon BN dan PH.

Katanya, undi BN di Kelantan adalah ‘melabur saham’ kepada DAP.
Program tersebut turut dihadiri Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin, Timbalannya Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man serta bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Pada Disember tahun lalu, Annuar antara pemimpin yang dipecat UMNO akibat lantang menentang parti dan Presi­dennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi khususnya berkaitan usaha jajaran baharu antara BN dan PH.

Beliau kini mempengerusikan pertubuhan bukan kerajaan, Muafakat Nasional (MN) dan menyertai Pas, pada Jun lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN