SEREMBAN: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun memberi bayangan akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
“Insya-Allah, memang kalau kita ikut statistik ikut kaji selidik, kami memang mendahului (sokongan), insya-Allah saya masih lagi disokong,” katanya ketika ditemui pemberita selepas beliau mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim singgah menikmati makan tengah hari di Kedai Nasi Ayam Hainan Kak Lina di Taman Ampangan di sini.
Naib Presiden PKR itu juga menambah, beliau yakin pengundi-pengundi di DUN Sikamat akan terus memberikan kepercayaan kepada PH dalam PRN nanti.
“Kami sudah buat kerja selama lima tahun dan saya yakin mereka (pengundi) tahu menilai antara isu dengan apa yang telah kami laksanakan. Insya-Allah kami akan bekerjasama untuk pastikan kemenangan,” tambah lagi.
Aminuddin telah memenangi DUN Sikamat sejak Pilihan Raya Umum Ke-12 iaitu pada 2008. Kemenangan beliau di DUN berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018 membolehkan beliau diangkat sebagai Menteri Besar.
Ia selepas PH memenangi 20 kerusi daripada keseluruhan 36 buah kerusi DUN di Negeri Sembilan sekali gus mentadbir Negeri Sembilan.-UTUSAN.










