KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (Amanah) dijangka bertanding lebih 30 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri yang akan diadakan serentak pada 12 Ogos depan.
Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, dalam PRN akan datang, Amanah berhasrat meletakkan tujuh calon di Kelantan, tiga atau empat calon di Terengganu, tujuh atau lapan calon di Kedah, sembilan calon di Selangor dan tiga calon di Kedah.
“Berdasarkan sambutan rakyat, kita yakin dapat mengekalkan kemenangan, kita juga mempunyai peluang yang seimbang dengan negeri yang diperintah pembangkang .
“Dalam politik tiada yang susah, yang penting adalah kita mencuba kerana sudah pasti semua parti politik akan menampilkan calon, strategi dan pendekatan yang terbaik,” katanya.
Apabila dipersoal adakah Amanah rasa tercabar atau dipinggirkan kerana Barisan Nasional (BN) berada dalam kerajaan, beliau berkata, kami tiada masalah antara satu sama lain dan akan menghadapi PRN ini bersama.
“Kita harus elakkan permainan politik yang melampau dan tugas kita adalah menyakinkan rakyat,” katanya.
Minggu lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian bagi pilihan raya negeri (PRN) serentak di enam negeri pada 12 ogos ini.
Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, hari penamaan calon pula ditetapkan pada 29 Julai manakala pengundian awal pada 8 Ogos.-UTUSAN