1MDB: Keterangan Zeti bakal rungkai derma Arab? - Utusan Malaysia

1MDB: Keterangan Zeti bakal rungkai derma Arab?

ZETI AKHTAR AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz membuat kemunculan sulungnya sejak di­sebut sebagai saksi dalam perbica­raan kes penyelewengan dana RM2.28 bilion 1MDB yang akan merungkaikan derma Arab kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Keterangan bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) itu penting kerana dijangka dapat merungkaikan transaksi sumba­ngan AS$100 juta daripada Arab Saudi pada 2011 yang dimasukkan ke akaun peribadi Najib.

Malah nama beliau juga pernah disebut dalam prosiding pada Oktober 2022 apabila saksi pendakwaan ke-39 iaitu bekas Pengarah Bukan Eksekutif AmBank, Cheah Tek Kuang ditanya sama ada pernah bertemu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low di kediaman Zeti.

Saksi berkenaan menyatakan beliau tidak pernah melihat Jho Low di rumah Zeti.
Namun perbicaraan semalam berakhir tanpa Zeti memberi keterangan kerana soal balas ke atas saksi pendakwaan ke-44, Kevin Michael Swampillai belum selesai.

Sehubungan itu Zeti akan ha­dir ke mahkamah hari ini sebagai persediaan memberi ke­terangan selaku saksi pendakwaan.

HADIR

Difahamkan, Zeti disapina untuk hadir pada hari ini sebagai persediaan sekiranya perbicaraan tidak dapat diteruskan dengan soal balas saksi pendakwaan ke-44 selepas peguam bela utama, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dikatakan tidak sihat.Bagaimanapun,pukul 3.12 petang, Muhammad Shafee muncul di mahkamah dan perbicaraan diteruskan dengan beliau menyoal balas Kevin iaitu bekas pegawai BSI Bank Ltd., Singapura.

Peguam terbabit memohon maaf dan memaklumkan tidak hadir pada prosiding sebelah pagi kerana beliau sakit kepala.

Zeti sebelum ini dijadualkan memberi keterangan pada 24 November tahun lalu namun ditangguhkan kerana demam.

Pemeriksaan utama terhadap Zeti juga sepatutnya dilakukan mendiang Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Tan Sri Gopal Sri Ram. Muhammad Shafee menyoal Kevin pada Oktober tahun lalu bertanya sama ada lelaki itu pernah berjumpa Jho Low di rumah Zeti tetapi Sri Ram membantah dan memaklumkan peguam tersebut boleh bertanya kepada Zeti apabila wanita itu dipanggil sebagai saksi.

Pada perbicaraan itu juga, Tek Kuang memaklumkan kepada mahkamah bahawa Zeti mengetahui tentang akaun Najib akan menerima sumbangan AS$100 juta dari Arab Saudi pada 2011 dan wanita itu memintanya supaya perkara itu dilakukan mengikut peraturan bank dan BNM.

Barisan pembelaan Najib pada perbicaraan sebelum ini turut mendakwa mereka mempunyai maklumat yang boleh dipercayai bahawa Jho Low se­ring melawat Zeti.

DOKUMEN

Mereka juga pernah beberapa kali cuba mendapatkan dokumen perbankan yang dikatakan melibatkan transaksi penerimaan wang oleh ahli keluarga Zeti daripada Jho Low.

Dokumen-dokumen tersebut ialah beberapa pernyataan perbankan daripada syarikat-syarikat termasuk Aktis Capital Singapore Pte Ltd., Country Group Securities Public Company Ltd., ACME Time Ltd. (BVI), Butamba Investments Ltd., dan Central Holdings Ltd.

Media sebelum ini melaporkan polis Singapura pernah memaklumkan kepada BNM berhubung transaksi mencurigakan daripada Jho Low kepada syarikat milik suami dan anak lelaki Zeti ketika wanita itu masih menjadi gabenor bank tersebut.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung hari ini.
Nama Zeti turut pernah dipersoalkan oleh pihak tertentu mengenai peranannya dalam kes penyelewengan dana RM2.28 bilion milik 1MDB.

Pembabitan Zeti pertama kali disuarakan Datuk Dr. Puad Zarkashi selaku bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) pada 2016 dan kemudian dipersoalkan oleh Najib, dua bulan selepas Barisan Nasional (BN) tewas dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Najib mendakwa, Zeti menyedari kewujudan dana 1MDB dalam akaunnya sebelum PRU 2013, pernah berbincang bersama mengenainya dan menyatakan BNM memberi kebenaran untuk membawa masuk wang 1MDB. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN