UPNM tawar 4 program pengajian hibrid, anjal - Utusan Malaysia

UPNM tawar 4 program pengajian hibrid, anjal

DR. AHMAD MUJAHID AHMAD ZAIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mula menawarkan empat program yang menggunakan sistem pembelajaran hibrid dan anjal pada sesi akademik akan datang, Oktober ini.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UPNM, Prof. Datuk Dr. Ahmad Mujahid Ahmad Zaidi berkata, jumlah yang ditawarkan itu sebagai permulaan sebelum ia diperluaskan lagi kaedah tersebut ke program yang lain. 

Beliau berkata, keempat-empat  program itu terdiri daripada dua program daripada Fakulti Pengurusan serta dua lagi program masing-masing daripada Akademi Kecergasan Pertahanan  dan Pusat Bahasa yang tidak melibatkan badan profesional.

“(Melalui sistem itu) mungkin semasa tahun pertama mereka berada di  kampus. Tahun kedua kita benarkan mereka berada di luar kampus atau dalam talian dan pada tahun ketiga mereka akan kembali ke kampus dengan sebahagian mereka akan berada di luar untuk latihan industri.

“Empat program ini untuk permulaan, dari situ kita akan lihat apa kelemahan sistem untuk kita tambah dan kita akan cuba memperluaskan lagi pada program lain,” katanya kepada pemberita hari ini.

MENEMBAK

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kejohanan Menembak 10 meter Antara Institusi Pengajian Tinggi dan Jemputan Kebangsaan di UPNM di sini hari ini. 

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebelum ini mahu memendekkan tempoh pengajian sesetengah program dari empat tahun kepada tiga tahun.

Berhubung langkah KPT untuk memendekkan tempoh pengajian sesetengah program, Ahmad Mujahid berkata, hampir semua tempoh pengajian program akademik yang tidak melibatkan badan profesional di UPNM adalah tiga tahun.

Katanya, ini kerana pengurusan universiti sudahmenyemak semula program akademik pada 2018.

“Program di bawah Fakulti Kejuruteraan dan Fakulti Perubatan yang melibatkan badan profesional, tempoh pengajiannya antara empat dan lima tahun.

“Kita sudah lama aplikasikan perkara ini sebab kita sudah ramalkan perkara ini seperti keperluan tenaga kerja dan sebagainya pada masa akan datang, jadi kita sudah pun mula semak pada 2018 dan pendekkan (tempoh pengajian) program,” katanya.

Terdahulu, pada kejohanan menembak itu, sebanyak 25 pasukan terdiri daripada 16 pasukan dari Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan 11 pasukan dari Majlis Sukan Negeri (MSN). 

Seramai 149 orang atlet telah mengambil bahagian di sepanjang kejohanan berlangsung. 

Penganjuran kejohanan itu  acara tahunan di peringkat kebangsaan dan menjadi platform di dalam menggerakkan program Pusat Sukan Tumpuan (PST) Menembak. 

Kejohanan tersebut menggunakan format pertandingan International Shooting Sport Federation (ISSF) dan dipantau oleh Persatuan Menembak Kebangsaan sebagai pegawai teknikal pertandingan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya