UMNO mahu isu doktor kontrak, beban guru segera diselesaikan - Utusan Malaysia

UMNO mahu isu doktor kontrak, beban guru segera diselesaikan

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO mahu kerajaan memastikan soal kebajikan penjawat awam terus terbela termasuk menyelesaikan isu perkhidmatan doktor kontrak.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, selain itu nasib pasukan keselamatan khususnya dalam aspek perumahan dan mengurangkan beban tugas guru serta memberi perlindungan hak sebagai pekerja tidak harus diabaikan. 

“Selepas pandemik Covid-19, perkhidmatan kesihatan harus dipertingkatkan termasuk menyelesaikan isu perkhidmatan doktor-doktor kontrak. Saya yakin falsafah charity begins at home akan dihargai oleh semua,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.

Selain itu,  menurut beliau,  UMNO turut mencadangkan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) bagi mengawal selia ekosistem industri gig dan menjaga kebajikan seluruh rantaian ekonomi bermula daripada penyedia perkhidmatan, pembekal, pekerja dan pengguna. 

Katanya, sektor itu kian berkembang di negara ini dengan lebih 1.12 juta pekerja gig telah berdaftar dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan tambahan pula lebih 80 peratus daripada pengguna ekonomi gig ini adalah terdiri daripada anak muda. 

“Justeru  jangan kita kesampingkan arus evolusi digital yang menguasai pasaran ekonomi internet Malaysia yang telah mencapai transaksi multi billion, sehingga mencecah RM52.4 billion pada tahun 2020. 

“Ekonomi gig dijangka terus berkembang pada kadar 23 peratus setiap tahun. Saya percaya dengan penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig, ia akan memberi sinar baharu buat pemain ekonomi gig serta adik-adik Grab, LalaMove, Food Panda di luar sana. Ia juga akan membolehkan kerajaan menstrukturkan sistem percukaian ekonomi gig yang menyaksikan pengaliran besar aliran tunai melalui perkhidmatan ke luar negara,” katanya.

HSR

Ahmad Zahid berkata, UMNO turut menggesa kerajaan menyegerakan pelaksanaan semula pembangunan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang dimulakan oleh Perdana Menteri keenam, Datuk Seri Najib Tun Razak namun dikaji oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad kemudian dibatalkan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Insya-Allah kita yakin akan terlaksana di bawah PM ke-10 (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Kita juga mahu agar pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Pan Borneo untuk manfaat rakyat Sabah dan Sarawak disiapkan mengikut jadual, supaya kemudahan ini menjadi pemangkin kawasan pertumbuhan baharu yang dapat menjana ekonomi, peluang pekerjaan dan membangunkan perusahaan-perusahaan kecil,” jelasnya.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata,  kerajaan perlu memperkenalkan pelan Felda 5.0 bagi menyediakan perancangan untuk generasi kelima dengan tumpuannya melibatkan penyediaan pendidikan berkualiti, peluang keusahawanan, akses kepada teknologi, kemahiran yang bersesuaian dan perancangan perumahan yang selesa buat mereka.

Malah, kata beliau, kerajaan perlu memastikan pengagihan ekonomi dan kekayaan negara boleh dikongsi bersama khususnya buat masyarakat desa melalui proses urbanisasi dengan merencana kemasukan industri-industri strategik bagi meransang pertumbuhan ekonomi  kampung dan desa sekali gus menjadi ikhtiar untuk menoktahkan soal kemiskinan yang masih melingkari kehidupan rakyat di desa.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya