Tuntutan RM62.59 bilion, Sulu tidak berganjak - Utusan Malaysia

Tuntutan RM62.59 bilion, Sulu tidak berganjak

Malaysia berisiko kehilangan aset dan kepentingan syarikat di negara lain jika waris Kesultanan Sulu masih berdegil untuk terus membuat tuntutan RM62.59 bilion seperti diminta selama ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perjuangan Malaysia untuk menoktahkan tuntutan Sulu bagi mempertahankan kedaulatan negara belum berakhir apabila waris kesultanan itu tetap bertegas mahu menuntut RM62.59 bi­lion (AS$14.9 bilion) walaupun gagal dalam tiga prosiding mahkamah sebelum ini.

Oleh itu kerajaan Malaysia perlu lebih berhati-hati dalam berhadapan dengan tuntutan berkenaan kerana kumpulan tersebut tidak akan berputus asa dan akan menggunakan apa saja helah untuk menja­yakan tindakan tidak berasas itu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, peguam waris Sulu, Paul Cohen berkata, tumpuan kes itu bukan mengenai kedaulatan, sebaliknya mendakwa ia mengenai pajakan ko­mersial membabitkan Sabah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, tidak ada sebab me­ngapa waris kesultanan Sulu perlu berputus asa kerana keputusan mahkamah setakat ini hanya menetapkan anak guamnya tidak boleh mengutip hutang di satu negara iaitu Belanda.

“Perbicaraan mahkamah me­­­netapkan bahawa pada masa ini, kami tidak boleh mengutip hutang di satu negara iaitu Belanda.
“Mengapa pelanggan saya perlu berputus asa,” jawabnya menerusi kiriman emel kelmarin.

LONDON

Sebaliknya, kata peguam yang mendakwa berpangkalan di London itu, kes tuntutan anak guamnya bakal berjalan pada skala masa yang lebih lama di seluruh dunia.

“Anugerah Timbang Tara sebanyak $AS14.9 bilion telah me­ningkat pada tahun lepas seba­nyak 10 peratus, seperti yang saya nyatakan baru-baru ini kepada kerajaan Malaysia,” kata Cohen.

Oleh itu, menurut beliau, semangat kemenangan Malaysia ketika ini tidak akan bertahan lama dan berpandangan negara ini mengetahui bahawa kejayaan tersebut adalah bersifat taktikal yang terhad di satu negara.

Cohen turut hairan dengan sikap kerajaan Malaysia kerana sebelum ini mereka menafikan kes itu sehingga perkara itu berlarutan selain menentang prosiding dibawa melalui proses undang-undang antarabangsa dan mahkamah asing.

“Saya terhibur melihat perkara ini, dalam bulan ini, mereka cakap suka mahkamah asing,” katanya.

Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Rayuan Perancis mengekalkan keputusan menolak penguatkuasaan Partial Award kepada kumpulan mendakwa sebagai waris Sulu yang diputuskan penimbang tara, Dr. Gonzalo Stampa pada 2020.

TIDAK SAH

Bagaimanapun, waris Sulu menganggap keputusan itu sebagai tidak sah dan disalahgunakan oleh pihak pihak tertentu selain menyifatkan ketetapan itu bukan satu-satunya langkah untuk menyekat tuntutan mereka ke atas Malaysia

Susulan itu, Malaysia bakal berdepan satu lagi prosiding di Mahkamah Luxembourg pada September ini setelah tiga keputusan di Sepanyol, Perancis dan Belanda menyebelahi kerajaan Malaysia tidak diterima waris Kesultanan Sulu.

Pada 28 Februari lalu, agensi berita Sepanyol melaporkan penimbang tara negara itu, Dr. Gondoza Stampa mengarahkan Malaysia membayar pampasan AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) kepada waris Sultan Sulu. Pampasan tersebut membabitkan bagi tanah Sabah yang didakwa dipajak nenek moyang mereka kepada syarikat Perdagangan Beritish.

Malaysia didakwa tidak membayar wang pemisah (pampasan) berjumlah RM5,300 setahun sejak 2013 dan oleh itu dikatakan melanggar Perjanjian 1987 yang ditandatangani Sultan Jamal Al-Alam dengan Baron De Overbeck dan Alfred Dent mewakili syarikat British Utara Borneo.

Pada 11 Julai tahun lalu, peguam pihak yang menuntut itu dilaporkan merampas aset Petronas yang didaftarkan di Luxembourg, iaitu Petronas Azerbaijan (Shah Deniz) dan Petronas South Caucasus, dengan nilai dilaporkan mencecah lebih AS$2 bilion (RM8.8 bilion).- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini