Treler terbabas langgar Perodua Alza - Utusan Malaysia

Treler terbabas langgar Perodua Alza

TANGKAP layar video memaparkan sebuah treler terbabas masuk ke laluan bertentangan dan melanggar sebuah kereta Perodua Alza di Jalan Seremban-Kuala Pilah dekat Bukit Putus pada Rabu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebuah video memaparkan sebuah treler terbabas masuk ke laluan bertentangan dan melanggar sebuah kereta Perodua Alza di Jalan Seremban-Kuala Pilah, kawasan Bukit Putus berhampiran kolam pancing Paroi di sini tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, siasatan awal mendapati kemalangan lebih kurang 2.30 petang, Rabu lalu berlaku apabila sebuah treler jenis Volvo yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 42 tahun sedang bergerak dari arah Bahau menuju Pelabuhan Klang.

“Apabila tiba di lokasi kejadian yang berbentuk selekoh menuruni bukit, treler tersebut hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan dan melanggar sebuah kereta jenis Perodua Alza yang dipandu seorang wanita berusia 47 tahun seorang diri dari arah bertentangan.

“Bagaimanapun, kedua-dua pemandu yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah hadir membuat laporan kemalangan di Bahagian Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban pada hari yang sama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Rule 10 LN 166/59 .

TambahNYA, sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Muhamad Alif Ab Jalil di talian 018-2029479 atau IPD Seremban 06-6033222 bagi membantu siasatan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN